Kerja Di Sekolah
Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada para pembaca. Terima kasih kepada admin jika kisah aku sebelum ini disiarkan iaitu kisah Kelibat di jalan Marak-parak. Tanpa membuang masa jom kita masuk ke cerita kedua aku.
Pernah tak korang kerja lebih masa di tempat yang sunyi, tiba-tiba dengar bunyi yang memang tak sepatutnya ada? Aku rasa orang yang pernah alami confirm faham perasaan tu. Dada berdegup kuat, tapi kaki rasa macam dipaku, tak larat nak berganjak.
Kisah ni berlaku tahun 2017. Waktu tu aku dengan kawan baik aku, Faizal, ambil kerja sampingan buat pembersihan kat sebuah sekolah menengah di pinggir bandar. Sekolah tu memang dah lama berdiri, ada satu blok bangunan lama yang dah tak digunakan sejak beberapa tahun kebelakangan. Pihak sekolah upah kami untuk servis dua tangki air lama yang dah berkarat dan tukar semua paip luar yang dah lapuk.
Kami sampai lepas tengahari, matahari tegak atas kepala. Kerja pertama, tangki air. Punyalah kotor, berlumut, ada juga daun-daun kering yang dah bertahun bersarang dalam tangki tu. Kami basuh betul-betul, pastikan bersih baru pasang balik. Habis tu, sambung buka paip luar satu-satu, tukar dengan yang baru. Waktu Zuhur, kami singgah solat kat surau sekolah, sekalian rehat sekejap sambil makan roti yang kami bawa dari rumah.
“Lepas ni tinggal bahagian dalam je, kepala paip dekat tandas lama tu,” Faizal bersuara, mulut penuh dengan roti.
“Yalah, lepas ni siap dah kerja kita,” balas aku, tak sangka apa yang bakal berlaku.
Kami sambung kerja. Waktu tu dah masuk waktu senja, langit dah bertukar jingga kemerahan. Blok tandas lama yang kami perlu masuk tu terletak di belakang bangunan yang tak digunakan, agak jauh sikit dari blok utama sekolah. Bila kami sampai depan pintu, bau dia lain macam. Bau lembap bercampur bau hanyir, macam ada air yang bertakung lama tak dibuang.
“Faizal, kau perasan bau ni tak?” aku bertanya, hidung dah mula riak.
“Perasan. Tapi kita dah nak habis ni, cepat je siapkan,” Faizal jawab, cuba bersikap biasa.
Kami masuk. Tandas lama tu ada empat bilik, bersebelahan macam biasa. Kami mula buka kepala paip satu-satu, bilik pertama, kedua, ketiga. Sampai bilik keempat, bilik paling hujung, kami dengar bunyi.
Byurr… byurr…
Bunyi macam orang tengah mandi. Aku pandang Faizal, Faizal pandang aku. Takkan ada orang mandi pula waktu ni? Lagipun air tak sampai lagi dari tangki yang baru kami bersihkan tadi, paip pun kami belum sambung sepenuhnya. Dari mana air nak keluar?
“Kau dengar tak tu?” aku berbisik.
“Dengar. Tapi… mana boleh ada air.” Muka Faizal dah mula berubah, pucat.
Kami berdiri kaku beberapa saat, cuba yakinkan diri mungkin ada masalah paip lain yang tersambung, atau mungkin ada budak sekolah yang tinggal lambat. Faizal, dengan berani (atau lebih tepat, dengan bodoh) melangkah maju untuk cuba buka pintu bilik keempat tu.
“Buka je, kalau ada orang, kita minta maaf je,” Faizal cakap, tangan dah pegang kunci pintu.
Pintu terkunci dari dalam. Faizal cuba tolak sikit, goncang-goncang.
Dup!!!
Satu dentuman kuat dari dalam bilik tu, seakan ada seseorang menumbuk pintu dengan sekuat hati dari sebelah dalam. Bunyi tu bukan main-main, sampai pintu tu bergegar, habuk-habuk lama gugur dari bucu atas.
Kami tak tunggu lagi. Terus lari, tinggalkan segala peralatan, tak peduli apa lagi yang belum siap. Sampai kereta, kami terus bawa laju, dan sepanjang jalan tak ada siapa yang bercakap sepatah pun.
Malam tu kami hubungi pihak sekolah, bagitahu kami tak sempat habiskan kerja dan minta izin sambung esok. Tapi ada satu permintaan, kami mahu seorang ditemani bila masuk semula ke tandas lama tu.
Esoknya, kami datang pagi-pagi, dan pihak sekolah hantar seorang pengawal keselamatan untuk menemani kami. Namanya Pakcik Rusdi, orangnya sudah agak berumur, mungkin dalam lingkungan lima puluhan, tapi cara bercakap tenang, tak nampak macam orang yang mudah panik.
“Korang jangan risau. Saya dah lama kerja kat sini, dah biasa dengan macam-macam,” Pakcik Rusdi cakap sambil tersenyum, cuba menenangkan kami berdua yang muka masih pucat.
Sambil kami buka semua kepala paip yang tinggal, Pakcik Rusdi bercerita. Katanya, waktu dia buat shift malam beberapa tahun lepas, dia sendiri pernah nampak sekeluarga yang seakan tinggal dalam tandas lama tu. Ada lelaki, perempuan, dan dua budak kecil, duduk berkumpul dalam salah satu bilik.
“Saya tak tegur pun, saya biar je,” Pakcik Rusdi berkata, suaranya rendah. “Saya tahu, tu bukan manusia biasa. Kalau kita tak kacau dia, dia pun tak kacau kita.”
Aku dan Faizal berpandangan, rasa merinding mendengar penjelasan tu, tapi entah macam mana, hati jadi sedikit tenang. Sepanjang kerja hari tu, tak ada apa-apa yang berlaku. Bunyi air, dentuman pintu, semua senyap. Habis kerja tengahari, kami packing semua alat, dan kami berterima kasih dengan Pakcik Rusdi sebab sanggup temani kami. Syukur, semuanya berjalan lancar.
Petang tu, sebelum balik, kami singgah pejabat sekolah untuk serah borang siap kerja dan minta tandatangan pengesahan. Kerani pejabat semak nama pengawal yang bertugas hari tu untuk rekod.
“Eh, Pakcik Rusdi ke yang temankan korang?” kerani tu bertanya, kening berkerut sikit.
“Ha’ah, kenapa?” aku jawab, tak sedar apa-apa yang pelik.
“Pelik la. Pakcik Rusdi kan dah bersara dua tahun lepas. Yang bertugas hari ni Along, tapi Along cuti hari ni sebab demam.”
Aku dan Faizal terus berpandangan, badan sekejap jadi sejuk. Kami cuba jelaskan ciri-ciri Pakcik Rusdi yang temankan kami tinggi sederhana, berbaju uniform pengawal warna biru, cara cakap tenang, cerita pasal keluarga dalam tandas lama. Kerani tu tergamam sekejap sebelum menggeleng perlahan.
“Setahu saya, tak ada Pakcik Rusdi lain kerja sini sekarang. Yang tu memang dah lama bersara.”
Sampai sekarang, aku dan Faizal tak pernah dapat jawapan yang jelas siapa sebenarnya lelaki yang menemani kami hari tu. Sama ada dia betul-betul Pakcik Rusdi yang datang menolong secara sukarela, atau sesuatu yang lain yang menyerupai rupanya untuk menenangkan kami kami sendiri tak pasti. Yang pasti, kami selamat, kerja siap, dan tak ada apa yang buruk terjadi. Cuma bila teringat balik cerita tu, bulu roma masih naik sampai sekarang.