Est. 2015 Fiksyen Shasha Kisah Benar

CERITA DARI PAKLONG DI HILLVIEW

Assalamualaikum dan salam Sejahtera. Aku Maisara.

Antara cerita yang aku pernah kongsi sebelum ini…

1. Orang Terakhir di Pejabat
2. Rumah Mak Mentua
3. Homestay
4. Bilik 307
5. Pemandu Grab
6. Penumpang
7. Media Sosial
8. Pakcik Di Koridor
9. Panggilan Telefon
10. Maria
11. Cerita Dari Atok
12. Meja Nombor 17

Ini cerita yang seterusnya pula.

Pernah dengar cerita pasal Highland Towers? Ni cerita daripada paklong aku.

Paklong tak pernah nampak hantu.

Dia cuma kata: “Malam tu, paklong dengar orang hidup minta tolong dari tempat yang sepatutnya dah tak ada orang hidup.”
Itu yang buat aku tak boleh lupa.

———

Paklong aku tinggal di Taman Hillview. Rumah dia tak jauh dari Highland Towers.

Masa aku kecil, aku memang selalu datang rumah dia. Paklong aku ni jenis yang kalau ada apa-apa benda nak diraikan, memang dia akan buat besar-besaran. Kalau birthday, kenduri, atau apa-apa sambutan, mesti meriah. Lepas tu, memang selalunya kami akan tidur rumah dia.

Aku ingat kawasan tu sebagai kawasan yang cantik. Rumah-rumah besar, jalan naik turun bukit, pokok-pokok yang banyak di kiri kanan. Waktu siang, langsung tak nampak macam tempat yang menyimpan cerita apa-apa.

Sebab bagi aku masa tu, Taman Hillview cuma rumah paklong.

Tempat kami makan, gelak, main sampai malam, lepas tu tidur ramai-ramai.

Aku tak pernah terfikir pun yang beberapa ratus meter dari situ, ada sebuah bangunan yang menyimpan salah satu tragedi paling mengerikan yang pernah berlaku di Malaysia.

Dan dari sesetengah tempat, memang boleh nampak bangunan Highland Towers.

Waktu siang, aku tak rasa apa-apa.

Tapi waktu malam… Aku tak tahu kenapa. Bangunan yang tinggal tu nampak lain.

Gelap. Kosong. Macam bangunan yang bukan sekadar ditinggalkan, tapi macam dah tak mahu orang masuk lagi.

Paklong aku selalu marah kalau aku berdiri lama-lama tengok arah sana.

“Jangan tengok lama sangat.”

Aku pernah gelakkan dia.

“Paklong takut hantu?”

Dia tak jawab.

Dia cuma kata: “Bukan hantu yang paklong takut.”

———

Bertahun kemudian, masa aku dah dewasa, aku duduk dengan paklong aku dekat ruang tamu rumahnya. Aku datang dengan abang aku, tapi dia dah masuk tidur waktu ni.

Malam tu hujan. Hujan jenis yang turun perlahan tapi tak berhenti.

Paklong tengah minum kopi. Aku pula tengah scroll telefon.

Tiba-tiba dia cakap, “adik nak dengar satu benda pasal Highland Towers?”

Aku letak telefon. “Yang hantu tu?”

Dia pandang aku. “Bukan.”

Dia diam lama. “Yang ni paklong tak pernah cerita dekat orang.”

Aku terus rasa pelik.

Paklong aku bukan jenis suka mereka cerita. Dia seorang yang sangat praktikal. Kalau paip bocor, dia baiki. Kalau kereta rosak, dia buka enjin. Kalau orang cerita benda mistik, dia biasanya orang pertama yang cari penjelasan logik. Jadi bila dia kata macam tu, aku terus dengar.

———

“Masa tragedi tu berlaku, paklong tak pergi dekat tempat runtuhan.”

Dia tarik nafas.

“Ramai orang pergi. Paklong tak pergi. Rumah paklong dekat sini, jadi paklong cuma dengar bunyi dari jauh.”

Aku angguk.

“Tapi beberapa tahun lepas tu…”

Dia berhenti.

“Ada satu malam paklong keluar rumah.”

*”Pukul berapa?” aku tanya.

“Lebih kurang tiga pagi.”

Dia memandang ke arah tingkap.

“Paklong dengan kawan.”

“Siapa?”

“Kawan lama. Nama dia Arif.”

Kemudian dia senyum kecil.

“Dia lagi tak percaya benda hantu daripada paklong.”

———

Malam tu, katanya, Arif datang rumah paklong aku sebab nak tumpang tidur. Dah lewat. Hujan baru berhenti. Jalan basah.

Paklong aku keluar sekejap nak ambil sesuatu dari kereta. Arif ikut. Mereka berdiri dekat luar pagar. Dan waktu itulah mereka terdengar bunyi.

Tok.

Pakklong kata dia ingat bunyi sesuatu jatuh.

Tok.

Sekali lagi.

Dari arah Highland Towers.

Arif terus pandang.

“Apa tu?”

Paklong jawab, “Entah.”

Tok.

Kemudian…

Tok.

Dua kali.

Berhenti.

Paklong kata mereka tak fikir apa-apa. Sampailah mereka dengar bunyi lain. Bunyi yang sangat perlahan. Macam seseorang mengetuk sesuatu dari dalam.

Tok… tok… tok…

Tiga kali.

Berhenti.

Kemudian tiga kali lagi.

Tok… tok… tok…

Arif ketawa kecil.

“Mungkin monyet.”

Paklong pun fikir benda yang sama. Sebab kawasan tu memang banyak pokok. Jadi mereka masuk semula rumah.

———

Lima minit kemudian…

Tok… tok… tok…

Paklong berhenti. Arif pun berhenti. Kali ni bunyi tu lebih jelas.

Paklong buka pintu depan. Mereka berdiri di halaman. Dua-dua dengar.

Tok… tok… tok…

Arif cakap, “Itu bukan monyet.”

Paklong tanya, “Kau nak pergi tengok?”

Arif jawab, “Pergi.”

———

Mereka berjalan. Tak dekat sangat. Cuma sampai kawasan yang mereka rasa masih selamat.

Paklong kata malam tu sangat sunyi. Tak ada kereta. Tak ada orang. Tak ada bunyi televisyen dari rumah jiran. Cuma air menitis dari daun. Dan bunyi kasut mereka atas jalan basah.

Kemudian mereka dengar sesuatu. Bukan ketukan. Bunyi orang bercakap. Sangat perlahan.

Paklong tak dapat dengar apa. Arif pun tak. Mereka berhenti.

“Ada orang ke?”

Tak ada jawapan. Mereka tunggu. Kemudian suara tu datang lagi. Kali ni lebih jelas. Seorang lelaki. Suara serak. Macam orang yang dah lama menjerit.

Dia cakap: “Tolong…”

Aku yang dengar cerita tu terus meremang.

“Paklong yakin suara tu datang dari Highland Towers?”

Paklong mengangguk. “Yakin.”

“Ada orang masuk?”

“Itu yang pelik.”

Dia tunduk.

“Sebab masa tu bangunan tu dah lama kosong.”

———

Arif terus telefon polis. Tapi sebelum polis sampai, mereka dengar suara itu sekali lagi.

“Tolong…” Kali ni lebih kuat.

Kemudian… “Saya kat sini.”

Paklong kata darah dia terus rasa sejuk. Bukan sebab ayat tu. Tapi sebab dia perasan sesuatu. Suara itu tak datang dari bangunan. Ia datang dari arah tanah. Dekat kawasan cerun.

Arif suluh lampu. Tak ada sesiapa. Paklong suluh lagi. Tak ada.

Mereka tunggu. Kemudian lampu suluh Arif terkena sesuatu.

Satu tangan.

Paklong terus undur. Arif jerit.

Tapi sebelum mereka sempat bergerak… Tangan itu bergerak. Jari telunjuknya naik. Perlahan. Kemudian menunjuk ke arah belakang mereka.

———

Paklong berhenti bercerita. Aku dah mula rasa tak sedap hati.

“Apa benda tu?”

Dia pandang aku. “Paklong tak tahu.”

“Arif?”

“Dia pun nampak.”

Aku tanya, “Orang?”

Paklong geleng. “Bukan.”

Aku rasa bulu roma tangan aku naik. “Jadi apa?”

Paklong jawab perlahan. “Itu bukan tangan manusia.”

Aku tak tahu kenapa ayat itu lebih menakutkan daripada kalau dia kata hantu.

Aku tanya, “Macam mana paklong tahu?”

Dia pandang aku lama.

“Sebab benda yang paklong nampak tu bukan keluar dari tanah.”

Aku diam.

“Ia masuk ke dalam tanah.”

———

Aku terus rasa dada sempit. Tapi paklong belum habis. Dia kata selepas nampak tangan itu, dia dan Arif terus berlari.

Mereka tak peduli lagi suara siapa. Tak peduli apa yang ada di belakang. Mereka cuma lari. Dan semasa berlari… Mereka dengar bunyi sesuatu mengejar. Bukan tapak kaki. Bukan benda berjalan. Bunyi macam sesuatu diseret atas tanah.

Scrrrt…

Diam.

Scrrrt…

Diam.

Semakin dekat.

Paklong kata dia tak pernah rasa takut macam tu. Dia boleh dengar nafas sendiri. Dada berdegup kuat. Tapak tangan basah. Kaki rasa ringan macam tak pijak tanah.

Dan Arif yang biasanya berani tiba-tiba menjerit:

“JANGAN PANDANG BELAKANG!”

Paklong tak pandang. Tapi dia dengar. Ada sesuatu berhenti betul-betul di belakang mereka.

———

Kemudian…

“Paklong…”

Aku terus pandang muka paklong aku. “Apa?”

Dia jawab: “Benda tu panggil paklong.”

“Macam mana dia tahu nama paklong?”

Dia tak menjawab. Aku dah rasa sejuk satu badan.

Paklong sambung. “Tapi sebenarnya bukan nama paklong yang dia panggil.”

“Habis?”

“Dia panggil…”

Dia berhenti.

“Nama anak paklong.”

Aku terus diam. Sebab anak paklong aku ketika itu masih kecil. Dan tak ramai orang tahu nama penuh anak dia.

———

Aku tanya, “Macam mana benda tu boleh tahu?”

Paklong menggeleng. “Itulah sebab paklong tak pernah cerita.”

“Kenapa?”

Dia pandang ke arah tingkap.

“Sebab malam tu Aiman ada dalam rumah.”

Aku rasa perut aku jatuh.

“Apa?”

“Tidur.”

———

Aku dah tak mampu gelak.

Paklong kata mereka berlari balik rumah. Bila sampai depan pagar, pintu rumah terbuka. Paklong terus fikir Aiman bangun.

Dia masuk. Rumah gelap.

“Aiman?”

Tak ada jawapan.

Dia naik tingkat atas. Bilik Aiman kosong. Katil masih bersepah. Pintu bilik air terbuka. Kosong. Paklong buka pintu bilik dia, maklong tengah lena tidur, seorang.

Paklong panik. Dia turun semula. Kemudian dia nampak pintu belakang. Terbuka. Dia terus rasa nak muntah. Sebab pintu belakang itu menghadap tepat ke arah Highland Towers.

“Aiman!”

Tak ada jawapan.

Dia keluar ke belakang rumah dan panggil lagi nama anaknya.

“Aiman!”

Masih tak ada jawapan.

Kemudian, dari dalam rumah… dia dengar suara anak dia.

“Ayah?”

Paklong terus berpaling. Suara itu datang dari tingkat atas. Dia naik tangga. Satu anak tangga. Dua. Tiga. Kemudian dia dengar Aiman menangis.

“Ayah…”

Paklong buka pintu bilik. Anaknya ada di situ. Duduk atas katil. Menangis.

Paklong peluk dia. Dan dia tanya: “Kenapa keluar bilik tadi?”

Aiman jawab: “Aiman tak keluar.”

Paklong kata dia mula rasa pelik.

“Habis pintu belakang siapa buka?”

Anaknya pandang dia. Kemudian berkata: “Tadi ada orang ketuk tingkap.”

Paklong tanya: “Siapa?”

Aiman jawab: “Tak nampak.”

“Dia cakap apa?”

Aiman diam lama. Kemudian, “Dia suruh Aiman buka pintu.”

———

Aku dah menggigil masa paklong sampai sini. Tapi ada satu benda yang aku masih tak faham.

“Paklong…”

“Hm?”

“Arif ada sekali kan?”

“Ada.”

“Jadi Arif dengar semua tu?”

Paklong mengangguk. “Dia yang paling takut.”

Aku tanya: “Lepas tu polis datang?”

“Ya.”

“Jumpa apa-apa?”

Paklong senyum hambar. “Tak.”

“Tak ada tangan?”

“Tak ada.”

“Tak ada orang?”

“Tak ada.”

“Tak ada apa-apa?”

Paklong menggeleng. “Tak ada.”

———

Aku fikir cerita dah habis. Tapi sebelum aku nak nak tidur malam tu, paklong panggil aku.

“Satu lagi.”

Aku berpaling. “Apa?”

Dia menunjuk ke arah tingkap.

“Adik nampak Highland Towers dari bilik tetamu?”

Aku jawab, “Tak.”

“Bagus.”

Aku ketawa kecil. “Kenapa?”

Paklong tak ketawa.

“Sebab malam kejadian tu…”

Dia berhenti.

“Arif sebenarnya tak nampak tangan.”

Aku terus diam. “Habis?”

Paklong memandang aku tepat-tepat.

“Dia nampak orang berdiri di belakang dia.”

Aku rasa seluruh badan aku jadi sejuk.

“Orang siapa?”

Paklong geleng. “Dia tak tahu.”

“Lelaki?”

“Perempuan.”

“Macam mana rupa dia?”

Paklong menggeleng lagi. “Arif kata dia tak nampak muka.”

“Kenapa?”

Paklong jawab perlahan: “Sebab perempuan tu berdiri membelakangi dia.”

Aku terdiam. “Jadi dia tak nampak muka.”

Paklong mengangguk. “Tapi dia nampak baju perempuan tu.”

Aku tanya: “Baju apa?”

Paklong memandang lantai.

“Baju tidur.”

Aku mula rasa tak sedap hati. “Habis?”

Paklong berkata:

“Baju tidur yang sama macam yang dipakai oleh seorang wanita yang ditemui dalam runtuhan Highland Towers.”

Aku tak bercakap. Paklong pun tak bercakap.

Hujan di luar semakin kuat. Kemudian telefon aku yang terletak atas meja tiba-tiba bergetar. Aku terkejut. Aku tengok skrin.

3:17 pagi.

Aku terkedu.

“Paklong…”

Dia pandang jam dinding. Jam dinding menunjukkan 3:17 juga. Kami saling pandang. Kemudian…

Tok.

Bunyi dari tingkap. Aku tak bergerak. Paklong pun tak bergerak.

Tok.

Sekali lagi.

Aku mula rasa dada sesak. Tapak tangan aku berpeluh. Jantung berdegup sampai aku boleh rasa denyutan dekat leher.

Paklong bangun perlahan-lahan.

“Jangan buka langsir.”

Aku bisik: “Kenapa?”

Dia tak jawab.

Tok… tok… tok…

Tiga ketukan.

Paklong berdiri betul-betul di hadapan aku.

Dan untuk pertama kali sepanjang hidup aku, aku nampak paklong aku menggigil. Bukan pura-pura. Bukan berlakon. Tangan dia memang menggigil.

Dia bisik: “Sebab tingkap tu tak menghadap jalan.”

Aku pandang tingkap. Kemudian aku faham. Tingkap ruang tamu rumah paklong aku menghadap ke belakang rumah. Menghadap pokok. Menghadap cerun. Dan dari situ… tak ada laluan untuk sesiapa berdiri di luar.

Tiba-tiba ketukan berhenti. Kami tunggu. Senyap. Kemudian kedengaran suara perempuan. Sangat perlahan. Hampir seperti berbisik.

“Tolong…”

Aku terus tutup mulut dengan tangan. Paklong memegang lengan aku kuat-kuat.

Suara itu datang lagi. Kali ini lebih dekat. Betul-betul di sebelah tingkap.

“Saya kat sini.”

Dan masa itulah aku perasan sesuatu. Di sebalik langsir yang tertutup… ada bayang seseorang. Tinggi. Diam. Membelakangi kami.

Paklong memandang bayang itu. Aku boleh rasa jari dia semakin kuat mencengkam lengan aku. Kemudian bayang itu perlahan-lahan mengangkat tangan.

Bukan untuk mengetuk. Bukan untuk melambai. Ia cuma… menunjuk ke arah pintu belakang rumah.

Aku pandang paklong. Paklong pandang aku. Dan dalam keadaan kami berdua tak berani bergerak… kami dengar bunyi yang paling aku tak akan lupa sampai mati.

Klik.

Pintu belakang rumah terbuka. Perlahan-lahan. Padahal kami berdua tahu… pintu itu sudah dikunci dari dalam.

Aku rasa seluruh badan aku jadi sejuk. Jantung aku berdegup terlalu laju sampai telinga aku sendiri boleh dengar bunyinya.

Paklong angkat satu jari ke bibir. Suruh aku diam.

Kami tunggu. Pintu itu terbuka semakin luas.

Lima sentimeter. Sepuluh. Kemudian berhenti.

Tak ada sesiapa. Tak ada bayang. Tak ada apa-apa. Cuma ruang belakang rumah yang gelap.

Aku hampir nak percaya mungkin pintu tu memang tak dikunci betul. Mungkin angin. Mungkin selaknya rosak. Mungkin ada penjelasan yang masuk akal.

Kemudian kami dengar bunyi dari luar.

Scrrrt…

Macam sesuatu diseret atas lantai simen.

Berhenti.

Scrrrt…

Kali kedua. Lebih dekat. Aku genggam tangan paklong. Paklong tak tarik tangannya.

Dia cuma bisik, “Jangan tengok.”

Aku tak tahu kenapa. Tapi aku dengar cakap dia. Kami berdiri macam tu hampir seminit. Kemudian bunyi itu hilang. Senyap.

Paklong akhirnya bergerak. Dia tutup pintu belakang perlahan-lahan dan kunci semula. Kali ni aku nampak dengan mata sendiri. Dia tarik selak. Pusing kunci. Cuba tombol dua kali. Betul-betul terkunci. Kami tak cakap apa-apa.

Malam tu aku tidur dalam bilik tetamu. Atau lebih tepat… aku cuba tidur. Sampai pukul lima lebih, aku masih berjaga. Aku tak berani tutup lampu. Tak berani pandang tingkap. Tak berani turun dari katil.

Dan sebelum aku terlena, aku dengar sesuatu dari luar. Tiga ketukan.

Tok…

Tok…

Tok…

Aku tarik selimut sampai ke kepala. Aku tak tahu berapa lama aku terbaring macam tu. Tapi pagi esoknya, bila aku bangun, paklong dah duduk di meja makan. Muka dia pucat.

Aku terus tanya, “Paklong tidur tak?”

Dia geleng. “Tak.”

Aku diam sekejap.

Kemudian aku tanya, “Semalam… pintu tu siapa buka?”

Paklong tak jawab. Aku pandang paklong. Dia tak berkata apa-apa lagi. Cuma sebelum aku balik, dia sempat pesan satu perkara.

“Kalau adik lalu Hillview waktu malam…”

Dia berhenti.

“Jangan berhenti tengok Highland Towers.”

Aku tanya kenapa.

Paklong cuma jawab: “Paklong pun tak pernah nampak apa-apa dekat sana.”

Dia pandang aku lama.

“Tapi sejak malam tu…”

Dia menelan air liur.

“…paklong selalu rasa macam ada orang yang nampak paklong.”

Maisara
Cerita Berkaitan
Ada kisah sendiri?

Kongsi pengalaman seram anda.

Hantar Kisah

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Nak cerita baru kami hantar terus ke Telegram anda? Jom Join 👻 Join Telegram