Angkara Salah Paham

Malam itu sunyi, hanya bunyi cengkerik menemani. Rumah lama peninggalan arwah datuk yang kini didiami ibu terasa berat. Semenjak kebelakangan ini, ibu sering sakit badan lemah, pucat, kadang-kadang menggigil tanpa sebab. Mula-mula kami sangka mungkin angin dalam badan, atau ibu terlalu penat bekerja di rumah. Tapi lama kelamaan, sakit itu makin pelik.

Setiap kali azan Maghrib berkumandang, ibu akan mengerang, seolah-olah ada sesuatu menekan tubuhnya. Kadang bila malam, ibu mengadu terasa seperti ada orang duduk di hujung kakinya. Bau hanyir dan busuk pun selalu muncul tanpa sebab.

Ayah akhirnya nekad membawa ibu ke seorang ustaz yang dikenali orang kampung.

Sampai di rumah ustaz, suasana sejuk menusuk. Ustaz menyambut dengan senyuman tenang. “Mari duduk. Cuba ceritakan apa yang berlaku.”

Ayah mula membuka cerita, sambil ustaz memerhati wajah ibu. Ustaz mengangguk perlahan. Beliau mula membaca ayat-ayat ruqyah. Saat bacaan mengalun, ibu tiba-tiba menggigil kuat, wajahnya berubah merah, matanya melirik tajam seolah-olah bukan lagi dirinya.

Suasana jadi tegang. Ustaz berhenti seketika lalu berkata,
“Ini bukan penyakit biasa. Ada yang mengirimkan sesuatu pada ibu kamu. Barangnya dari orang dekat. Orang lama yang menyimpan dendam.”

Kami semua terdiam. Ayah dan aku saling berpandangan.

Ustaz kemudian menyebut sesuatu yang mengejutkan. Katanya, gangguan ini datang daripada seorang jiran lama yang pernah bermasam muka dengan ibu dahulu. Hanya kerana salah faham keciln tentang batas tanah kebun perkara itu berlarutan sehingga dendam dipendam bertahun.

“Hati manusia bila hitam, syaitan suka menungganginya,” kata ustaz perlahan.

Ibu menangis teresak-esak. “Saya tak pernah benci dia, ustaz… saya cuma tak mahu bergaduh.”

Ustaz menenangkan ibu. Beliau teruskan bacaan ruqyah, memercikkan air doa pada ibu. Perlahan-lahan tubuh ibu reda, nafasnya kembali normal. Wajah pucatnya beransur pulih.

Sebelum pulang, ustaz memberi nasihat.
“Jangan dibalas. Jangan dihantar balik. Cukuplah dengan doa. Pindahlah dari sini, insyaAllah lebih baik.”

Di dalam perjalanan pulang, ibu bersuara lemah tapi tegas:
“Kita tak perlu dendam. Cukuplah Allah yang membalas. Esok lusa kita balik kampung halaman ayah kamu. Biarlah di situ kita bina hidup baru.”

Ayah hanya mengangguk. Aku tahu, itu keputusan terbaik.

Beberapa minggu kemudian, kami sekeluarga berpindah. Sejak itu, ibu semakin sihat. Tidak lagi ada gangguan, tidak lagi terdengar bisikan atau terasa beban di hujung kaki ketika tidur.

Namun setiap kali aku teringat rumah lama itu, bulu roma pasti meremang. Semua ini hanya kerana angkara salah paham yang berubah menjadi dendam.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.