Aswang

ASWANG

Lampu chandelier ukiran kayu dari Selatan Perancis yang tergantung tinggi di syiling itu membiaskan rona jingga ke seluruh pelosok ruang tamu rumah agam yang mewah itu. Rumah agam itu sunyi sepi, buat seketika sehinggalah satu susuk tubuh lelaki muda kelihatan kelam kabut menuruni tangga yang melingkar turun ke tingkat bawah. Jerit pekik lelaki muda itu kedengaran memenuhi ruang sunyi rumah tiga tingkat itu tadi.

“Setan!!! Pergi mampus!! Jangan kacau aku!!”

Lelaki muda itu berlari pula ke arah dapur. Tangannya mencapai pisau di atas rak dapur lalu di unjuk ke depan, ke satu bayangan hitam tinggi, melebihi ketinggian normal lelaki dewasa yang menyeringai sinis ke arahnya. Lembaga itu, walau dengan ketinggian yang luar biasa seperti itu tidak pula kelihatan berdiri, sebaliknya merangkak membongkok ke arah lelaki muda yang mengerekot takut di hujung dapur. Rambutnya panjang mengurai, dengan bau d***h hanyir menguasai segenap atmosfera. Lembaga itu mampir lagi, dengan kulit yang jelas mereput membusuk, berkeruping kehitaman. Tiada mata atau mulut yang jelas hanyalah satu garis panjang melintang garisan muka. Seolah lembaga itu sentiasa tersenyum sinis dengan liur yang mangalirkan d***h merah pekat. Tangan berkuku cakarnya di angkat tinggi ke udara, lalu tubuh mengeletar lelaki muda tadi dirangkul rapat ke badannya. Rapat….rapat…..bagai memeluk anak patung lagaknya. Teriakan ketakutan lelaki itu membingit, sebelum terhenti tidak lama kemudian…..

*******

“Tuah mahu apa-apa lagi?” Bik Luna, pembantu rumah dari Filipina itu menyoal.

“Nope..”

Lelaki muda itu menjawab sepatah. Dia mengerling sekilas wanita awal 30-an itu. Bik Luna hanya mengangguk sebelum beredar ke dapur.

Tuah mengeluh berat. Kepalanya disandar di sofa empuk kegemaran mamanya. Matanya terfokus pada kipas syiling yang ligat berpusing. Bunyi angin yang dihasilkan kipas menderu lembut mengetuk telinganya. Fikirannya menerawang, teringat peristiwa tengah malam semalam.

” Eh ma..kenapa tak buka lampu dapur ni? Terkejut Tuah.”

Dia melurut tangan di dada. Menghentikan detak jantung yang berdegup kencang bila terserempak bayangan hitam yang sedang duduk tegak di meja makan. Bila diamati barulah dia sedar, itu mamanya. Mamanya cuma tersenyum lirih, sebelum menyisip kopi panas di dalam cawan.

“Minum….” sepatah diungkap mamanya.

Tuah hanya mengangkat bahu sebelum pintu peti ais dibuka. Dia mengagau kotak susu dalam peti itu lalu ditogoknya rakus. Lupa, itu pantang mama. Mama tak suka dia terus minum dari kotak. Tak beradab, kata mama. Dia mengerling mama takut-takut. Bersedia dipetir dengan suara nyaring mama namun sekali lagi dia tersentak. Mama merenungnya sambil tersenyum lebar. Tiada riak marah seperti selalu. Perlahan, mama bangun, lalu berjalan melewatinya sebelum hilang di balik tembok ke ruang depan. Tuah angkat bahu sekali lagi. Mood mama baik hari ni. Mungkin jualan di butik meningkat lagi. Pintu peti ais ditutup sebelum dia melangkah ke atas, menuju ke biliknya. Dia menghenyak badannya ke tilam empuk di dalam biliknya. Telefon bimbitnya dicapai, membelek mesej baru yang masuk. Matanya fokus pada satu nama, hujung ibu jari ditekan pada nama itu, membaca satu lembaran mesej baru yang buat jantungnya sekali lagi berdegup cemas..

‘Sorry sayang..mama balik lambat.. good night.” -Mama.

Tuah telan liur yang terasa kelat. Siapa yang disapanya di dapur tadi???

Tuah memejamkan mata, cuba mengusir bayangan kejadian yang berlaku semalam. Mungkin dia terlalu penat dengan projek akhir tahun di kolejnya. Tuah mengusap mukanya sepintas lalu sebelum bangun.

*******

Tuah melewati bilik papa dan mamanya. Kakinya berhenti melangkah apabila terlihat mama sedang bersolek cantik di  cermin. Mama memakai kebaya nyonya rona merah d***h. Rambutnya disanggul tinggi. Mama sedang menyalit gincu di bibirnya. Tuah ralit memerhati kelakuan mama. Mama mahu keluar lagi kah? Mama berpaling padanya, tersenyum lebar. Luar biasa lebar senyuman mama. Bagai bibirnya tertarik hingga ke telinga. Tuah pejam mata, lalu dicelik semula. Memerhati sosok mama yang makin menghampirinya di pintu bilik. Mama masih tersenyum. Tapi bibir mama kembali normal, tidak melebar seperti tadi.

“Err…mama nak keluar ke??” Tuah garu kepala yang tak gatal. Kenapa tadi dia nampak bibir mama macam senyuman joker?!

“Berhias, untuk papa kamu….”

Mama tersenyum. Bau mama semerbak menusuk hidung. Bau bunga. Entah bunga apa. Mungkin pewangi baru mama.

“Ohh..err..yalah. Tuah masuk dulu.”

Tuah tersengih, berpaling lalu berjalan melewati bilik mama, ke biliknya. Baru tiga langkah, dia terdengar suara papa ketawa, disusuli ketawa manja mama. Tuah lajukan langkah, papa dan mama dah macam pengantin baru!

********

Bau herba memenuhi ruang dapur rumah agam itu. Tuah menjenguk kayu kayan yang mengeleggak di dalam periuk tanah di atas dapur api. Dia mengerutkan dahi. Siapa yang masak herba ni??

“Sayang…”

Dia berpaling. Mama tersenyum di belakangnya. Tuah mencarut dalam hati. Sumpah dia tak dengar langsung bunyi tapak kaki mama masuk ke sini tadi! Dia menjeling kaki mama yang lengkap berselipar. Tak ada langsung bunyi derap selipar mama.

“Mama ke yang masak ni? Untuk apa?” Tuah menyoal. Mama cuma senyum.

“Untuk papa…” lama sebelum mama menjawab. Tuah angguk. Mungkin papa tak sihat. Tapi kenapa tak makan ubat hospital je??

“Ubat hospital tak elok di amal selalu…” Mama menyambung. Macam tahu-tahu pulak apa yang dia fikir.Tuah sekadar mengangguk.

Telefon bimbit yang berbunyi memaksa Tuah bergerak menjauh sedikit. Dia terus menekan butang hijau tanpa betul-betul melihat nama pemanggil.

“Sayang..mama tak balik malam ni. Mama tidur di butik dengan Kak Ros. Esok mama..”

Tuah berpaling laju ke belakang, ke arah dapur yang m**i apinya. Tiada periuk tanah di situ. Kelibat ‘mama’ juga sudah hilang! Sekali lagi kejadian malam semalam terjadi. Tuah berlari ke atas, mengunci diri dalam bilik. Setan apa yang kerap sangat menyerupai mama ni!? Mama…mama membela kah??

********

Tuah menguis bihun goreng yang telah sejuk. Fikirannya tak lepas memikirkan apa yang terjadi baru-baru ini. Kenapa ‘benda’ tu menyerupai mama? Kenapa tak muncul je dalam bentuk jembalang atau rupa asal??

“Tuah…tak sedap ke?” Bik Luna tarik kerusi meja makan lalu melabuhkan duduk di depannya.

“Eh..sedap Bik! Tapi saya tak lapar sangat..” Tuah beralasan.

“Tuah nampak macam ada masalah..” Bik Luna meneka.

“Hmm..Bik pernah nampak apa-apa yang pelik tak?” Tuah betulkan duduk. Dia merenung wajah Bik Luna. Wanita itu tentu tahu sesuatu.

“Pelik? Apa ya maksud Tuah?”

“Macam..err..bik Luna pernah nampak hantu tak? Yang menjelma menyerupai seseorang ke dalam rumah ni.”

“Hantu?? Hmm…kelibat itu selalu lah. Tapi Tuah, Bik pernah nampak, puan meratib dalam bilik. Suaranya mendayu. Bik sangka puan sedang menyanyi. Tapi bila bik intai, puan duduk mencangkung, sambil badannya ke kiri dan kanan menghadap tandas. Tapi iya..mungkin aja puan ngak sihat kan?” Bik Luna menjelaskan. Tuah tergamam. Mama…meratib?

“Betul ke bik??” Tuah memegang lengan Bik Luna. Matanya tajam merenung ke anak mata Bik Luna. Wanita dari selatan Filipina itu mengangguk lambat-lambat.

“Bik Luna masuk dapur dulu ya? Dah lewat ni..mau masak.” Wanita itu bergegas bangun.

Tuah mendengus. Dia turut bangun, memanjat tangga ke biliknya. Laptop yang tergeletak di atas meja belajar di ambil lalu dibuka. Dia perlu tahu sesuatu!

*********

I opened my eyes and arose
And strained in the darkness to see
I looked about and up
Then saw your radiant face….

Sayup-sayup nyanyian mendayu dari luar biliknya itu menjengah telinganya. Tuah bangun, memicing telinga di muka pintu, cuba mendengar lagi nyanyian lagu yang tidak pernah didengarnya itu. Sunyi. Tuah membuka pintu, kepalanya dijenguk keluar. Jantungnya bagai hendak terkeluar dari badan apabila melihat sebelah badan mama menjenguk dari pintu biliknya yang terkuak. Tuah telan liur. Mama tersenyum lebar ke arahnya. Senyuman mama melebar sehingga ke telinga dan rambut mama…rambut mama yang sebelumnya separas bahu kini panjang mengurai hingga ke pinggang.

“Heeee…dah tahu ke…?” ‘Mama’ bersenandung. Tuah telan liur! Ini bukan mama!

“Celaka kau bik Luna!!”

Tuah menjerit. Sosok ‘mama’ yang masih tersenyum lebar bertukar rupa. Membentuk satu bentuk lembaga tinggi mencuar ke syiling.

********

“Betul ke bik??” Tuah memegang lengan bik Luna. Matanya tajam merenung ke anak mata Bik Luna. Wanita itu mengangguk lambat-lambat. Anak mata itu…..Tuah mendengus. Dia perlu tahu sesuatu! Langkah kaki dibawa ke tingkat atas, ke biliknya. Laptop yang tergeletak di atas meja belajar diambil.

Tuah menekan kursor anak panah pada tajuk yang terpapar di skrin laptop. Artikel itu dibaca teliti. Aswang, makhluk mistik dari kepulauan di Filipina itu mampu merubah bentuk menyerupai manusia biasa. Dia mampu makan dan minum seperti biasa. Tidak tertakluk kepada hukum alam seperti pontianak yang hanya menjelma pada waktu malam. Aswang juga mampu bereaksi seperti manusia biasa. Hanya ada satu cara untuk mendedahkan identiti Aswang. Renung ke dalam anak matanya, dan imej pada anak mata makhluk itu akan kelihatan terbalik. Dan bila identiti Aswang terbongkar, makhluk itu akan memburu mangsanya sehingga m**i!  Ma..ti..!? Tuah telan liur. Sayup-sayup kedengaran suara nyanyian mendayu di luar biliknya…

Kongsi kisah anda: https://fiksyenshasha.com/submit

Afrooo

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 5]

12 thoughts on “Aswang”

  1. lebey kurang cite Nil elin erin tu je.. hmm.. kate bibik filipine apehal bibik ko ngak ngak.. cakap btol2 lag filipine ke indon bibik ko.. benci aku..

    Reply
  2. Nampak je perkataan “rona” aku dah malas baca dah. Tapi takpe bagi can baca je lagi sampai bawah

    Sekarang aku menyesal sebab tak ikut gerak hati awal-awal tadi

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.