Bayangan Diri di Bukit Merah
Assalamualaikum kepada pembaca Fiksyen Shasha. Saya nak tanya, korang pernah tak ada pengalaman nampak diri sendiri? Saya ada satu pengalaman misteri yang takkan saya lupakan sampai bila-bila.
Kejadian ini berlaku sekitar tahun 2005, sejurus selepas saya selesai menduduki peperiksaan SPM dan sebelum saya mendaftarkan diri untuk latihan rekrut di Port Dickson. Ketika itu, saya bekerja sementara di Bukit Merah Laketown Resort dalam jabatan keselamatan (security).
Malam tersebut, tugas saya dan seorang rakan setugas bernama Leman bermula. Kami dikehendaki membuat rondaan kawasan sekitar Laketown dari jam 12:00 tengah malam hingga 2:00 pagi. Laluan rondaan kami bermula dari bahagian hotel, terus ke Parking E (iaitu kawasan tempat letak motosikal di bahagian belakang), seterusnya memasuki kawasan themepark, dan berakhir di pos kawalan keselamatan.
Selesai membuat rondaan dan clocking, kami tidak berehat di dalam pos kerana ruangnya agak sempit. Jadi, saya dan Leman mengambil keputusan untuk melepak di kawasan pintu gerbang masuk Bukit Merah. Disebabkan terlupa membeli air dan makanan ringan, dengan akal nakal zaman muda, saya pergi “merembat” kerepek ubi dan dua kotak air. Saya kongsikan bersama Leman biar dosa tanggung sama-sama, fikir saya ketika itu.
Sedang kami bersantai di pintu gerbang, tiba-tiba radio panggil (walkie-talkie) kami berbunyi. Panggilan tersebut menyebut nama saya dan Leman. Leman terus menjawab panggilan itu kerana kami berada bersebelahan.
Namun, tiada balasan semula daripada pemanggil. Apa yang membuatkan kami berdua terkedu apabila mendengar suara saya sendiri membalas panggilan tersebut menerusi walkie-talkie!
Suara “saya” itu kemudiannya berbalas percakapan dengan Incharge (Incas) kami yang bertugas di pos malam itu.
Incas: “Weh Ein, kau ada pergi ronda tak dekat Parking E?”
Suara ‘Saya’: “Ada pergi…”
Saya cuba memotong dan menjawab menggunakan walkie-talkie saya yang betul, menyatakan kami memang dah ronda. Namun, jawapan saya langsung tidak kedengaran di seberang sana. Selepas itu, perbualan antara Incas dan suara “saya” terus berlarutan di dalam walkie-talkie.
Bulu roma saya mula meremang apabila Incas bertanya kedudukan kami.
Incas: “Kau dekat mana sekarang?”
Suara ‘Saya’: “Ada tengah lepak dekat pintu masuk ni.”
Incas: “Haa, datang balik ke pos sekarang.”
Saya terus menyenggol Leman dan berbisik, “Jangan pergi mana-mana…”
Tiba-tiba, dari arah hadapan, muncul dua sosok tubuh yang menyerupai muka saya dan Leman. Mereka berjalan perlahan melepasi kami menuju ke pos sambil anak mata mereka menoleh dan menatap tepat ke arah kami berdua! Kami terpegun dan kaku di situ.
Sedang kami ketakutan, tiba-tiba ada suara menegur dari belakang. Rupa-rupanya Incas yang sebenar ada di belakang kami!
Incas memberitahu dia sebenarnya datang dari pos untuk menyakat kami dari belakang. Tetapi langkahnya terhenti apabila dia sendiri mendengar suara saya di walkie-talkie sedangkan dia melihat saya tiada di situ. Terus terdiam dia dibuatnya.
Saya menyoal Incas, “Habis tu, siapa yang ada dekat pos sekarang?”
Dia memberitahu ada Rahman dan Mat Nor (pengawal shift ketiga). Waktu itu belum ada aplikasi WhatsApp dan kredit telefon kami pun tiada, jadi sukar untuk berhubung selain walkie-talkie.
Kami bertiga akhirnya berjalan perlahan-lahan dari arah belakang mengekor kelibat tadi menuju ke pos. Dari jarak jauh, alangkah terkejutnya kami apabila melihat tiga kelibat iaitu jelmaan saya, Leman, dan Incas sedang berdiri tegak di hadapan pos kawalan!
Di dalam pos, Rahman dan Mat Nor sedang bersembang mesra seperti biasa, seolah-olah tidak menyedari kehadiran tiga sosok yang berdiri kaku di luar. Salah satu kelibat itu berdiri rapat di hadapan rakan kami di dalam pos, sambil matanya merenung tajam ke arah kami bertiga yang memerhati dari jauh.
Melihatkan keadaan yang semakin menyeramkan, kami bertiga berundur beberapa langkah ke belakang. Sejuk seram menguasai tubuh. Kami hanya mampus berserah sehinggalah jam menunjukkan pukul 4:00 pagi untuk pertukaran shift.
Sepanjang tempoh itu, jelmaan tersebut kekal berdiri di situ. Peliknya, rakan-rakan shift kedua dan ketiga yang berada di pos langsung tidak nampak kelibat tersebut. Tetapi di dalam walkie-talkie, suara kami bertiga masih jelas kedengaran bergurau senda seperti malam-malam biasa.
Kami hanya Mampu bertahan di kawasan pintu gerbang sehingga kedengaran azan Subuh berkumandang. Sebaik sahaja azan bergema, jelmaan tersebut hilang begitu sahaja dari pandangan.
Kami tidak berani mendekati pos sehinggalah van pekerja sampai dan van masuk untuk punch card. Barulah kami bertiga berjalan menuju ke pos di mana rakan-rakan shift lain berada. Kami bertiga hanya mendiamkan diri dan tidak menceritakan apa-apa pada pagi itu.
Ekoran kejadian tersebut, saya mengalami demam dan mengambil Medical Leave (MC) selama 4 hari. Incas dan Leman juga turut demam. Ia bukanlah demam panas biasa, tetapi lebih kepada lemah semangat dan badan rasa terlalu tidak bermaya.
Saya bertahan kerja di situ selama 4 bulan sebelum akhirnya mendapat surat panggilan untuk masuk rekrut. Kejadian disapa dan dilihat oleh “diri sendiri” itu tetap menjadi misteri yang paling bermakna dan seram dalam hidup saya.