Dendam memakan diri

Dendam Memakan Diri

“Tak boleh jadi ni.” gumam Yusman . Ok apa nak jadi, jadilah. Aku nak resign. Yusman dah bosan dengan kerenah bosnya. Semenjak dua menjak ni fikirannya serabut. Tekanan demi tekanan yang dihadapinya menyebabkan dia sudah tidak betah untuk meneruskan pekerjaannya di syarikat itu.

Setiap kali mesyuarat jabatan, Yusman menjadi sasaran amukan pengurusnya. Boleh dikatakan semua orang kenal dengan kerenah encik Rasyid. Siapa sahaja yang berani membangkang keputusannya pasti tidak akan terlepas dari mendapat balasan darinya. Yusman pernah sekali cuba memberi idea untuk satu projek dalam satu sesi mesyuarat yang dipengerusikan oleh encik Rasyid. Cadangan idea yang diutarakan oleh Yusman dianggap encik Rasyid ancaman kepada kuasa autoritinya sebagai pengurus. Bermula pada hari itulah Yusman menjadi sasaran dendam encik Rasyid setiap kali mesyuarat. Ada sahaja lah cara yang dibuat oleh encik Rasyid untuk mengenakan Yusman.

Yusman sedang ralit menaip surat perletakan jawatan di komputernya. Tiba tiba dia disapa oleh kawan sepejabatnya. “Yus, kau dah nekad ke nak resign ni.” tanya Faizal. Yusman melarikan jari jemarinya dari keyboard komputer. Dia melepaskan keluhan panjang. Lama dia termenung mengenangkan nasib diri. “Entahlah Jai, aku sebenarnya suka kerja kat sini kawan kawan pun baik tapi yelah kan.” Yusman sengaja membiarkan jawapan kepada soalan Faizal tergantung begitu tanpa penyudahnya. Baginya, Faizal faham akan maksud ayatnya tadi. Mana taknya Faizal terlebih dahulu bekerja di syarikat itu dan lebih mengenali kerenah pengurus mereka.

“Kau tak payah resign lah, kita kenakan balik encik Rasyid nak?” tiba tiba Faizal bersuara. Yusman memandang Faizal dengan pandangan kosong. “Kenakan macamana.” tanya Yusman seakan berminat. Faizal segera menghampiri Yusman dan membisikkan sesuatu ke telinga rakan sepejabatnya itu. Seusai sahaja Faizal menyatakan ideanya Yusman mengangguk sambil satu senyuman terpamer di wajahnya. Mereka berdua kemudiannya ketawa terbahak bahak seakan akan meraikan rancangan yang bakal mereka laksanakan itu.

Seminggu kemudian.

Waktu siang sudah hampir melabuhkan tirainya. Pada waktu itu kebiasaannya kebanyakan staf Tiara Holding sudah pulang ke rumah masing-masing. Cuma tinggal beberapa orang staf di sesetengah unit yang masih tekun menyelesaikan tugasan. Tuntutan tugasan menyebabkan mereka terpaksa stayback mengejar dateline. Almaklumlah jika tidak siap bersedialah untuk kena bambu dengan bos masing-masing.

Rasyid mengambil cawan kopinya di atas meja. Ditenungnya di dalam cawan apakah masih ada bakinya. Ternyata kering, sekering tekaknya waktu itu. Tabiat dia kalau buat kerja mestilah ditemani dengan kopi. Dilihatnya jam, sudah menghampiri tujuh setengah. Dia bangun menghalakan pandangannya ke luar tingkap pejabatnya. Aras pejabatnya yang berada di tingkat sepuluh Wisma Anggerik itu membolehkan dia melihat suasana senja yang indah dan mengasyikkan. Kelihatan bangunan di depannya sudah disinari dengan lampu juga tidak terkecuali lampu jalanraya yang memancarkan cahaya jingga kekuningan. Pertukaran dari siang ke malam menerbitkan satu suasana yang mendamaikan hatinya.

Asyik memerhatikan suasana senja di luar melalui cermin dia terlupa tujuan asalnya bangkit dari kerusi. Setelah sekian lama menyemak dan meneliti laporan kewangan bermula dari jam lima petang tadi dia merasa tekaknya haus. Pada waktu ini selalunya dia sudah berada di rumahnya bersama sama dengan anak isteri tetapi tidak malam itu. Kedengaran suara azan dari masjid yang terletak lebih kurang dua kilometer dari bangunan pejabatnya. Menandakan masuknya waktu solat fardhu Maghrib bagi kawasan Shah Alam dan sekitarnya. Namun Rasyid seakan akan tidak peduli dengan laungan azan yang didengarinya. Dia sudah lama tidak mengamalkan ajaran islam sebagaimana kebiasaan orang islam. Sudah berapa tahun kewajiban solatnya diabaikan. Puasa, zakat apatah lagi. Islamnya hanya pada nama.

Setelah azan berhenti berkumandang Rasyid terus ke ruangan pantry untuk menyediakan kopi kegemarannya. Pada agakannya paling lewat dia akan siap meneliti laporan laporan tersebut sebelum jam sebelas malam. Jarak dari biliknya untuk ke pantry dalam lebih kurang lima puluh meter. Untuk ke pantry dia perlu melalui partition staf yang bersusun di depan biliknya. Kelihatan ada lagi dua orang stafnya masih menyiapkan kerja. Partition hujung sebelah kanan iaitu tempat setiausahanya Aliza dan partition paling hujung dibelakang milik stafnya yang bernama Yusman.

Kedua mereka kelihatan menunduk di sebalik partition masing-masing. Hanya separuh kepala kelihatan. Dia membiarkan sahaja kedua dua stafnya menyiapkan kerja masing masing dan terus menuju ke bahagian pantry. Keadaan pantry agak sunyi. Kedudukannya di belakang pejabat dan jauh dari ruangan kerja menambah lagi kesunyiannya. Terkadang bila masanya sudah lewat terdetik juga perasaan seram bagi sesiapa yang berada di pantry. Setelah siap membancuh kopi dia terus keluar dari pantry untuk menuju ke biliknya. Semasa melalui partition stafnya semula kedua dua orang stafnya tadi sudah tidak kelihatan.

“Aik laju bebenor kome ye, macam biskut kejap ada kejap hilang.” ujarnya separuh berbisik. Tanpa menunggu lama Rasyid terus masuk ke biliknya dan menyelak lagi fail kewangan yang masih berbaki. Terdapat beberapa angka yang tidak sama antara satu sama lain. Rasyid menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia perlu menyemak kembali laporan tersebut sebelum dibentangkan kepada lembaga pengarah syarikat. Dia mendail nombor handphone setiausahanya Aliza untuk bertanyakan tentang temujanjinya esok. Dia perlu membatalkan urusan temujanjinya esok untuk menyelesaikan laporan kewangan itu.

Kedengaran suara setiausahanya menjawab
panggilan.
“Ya encik Rasyid ada apa yang boleh saya bantu.”
“Aliza, saya nak awak batalkan semua temujanji saya esok sebab laporan kewangan ni ada yang silap dan kena betulkan esok sebelum mesyuarat.”
“Baik encik, nanti saya maklumkan kepada klien klien kita.”
“Oh ya Aliza, lewat balik malam ni saya baru je nak tanya awak buat kerja apa, tengok tengok dah lesap.”
“Eh mana ada encik Rasyid, pukul lima tadi saya dah balik.” kata setiausahanya itu. Rasyid terkedu seketika.
“Oh mungkin saya tersilap pandang, ok terima kasih Aliza.” ujar Rasyid dalam keraguan.

Rasyid mematikan panggilan. Biar betul. Perasaan Rasyid sedikit terganggu. Dia cuba fokus seketika. Di tariknya nafas dalam dalam dan dilepaskan perlahan lahan. Dia cuba berfikiran positif menyatakan kesilapan matanya menafsir imej tadi. Tanpa mahu membuang masa dia meneruskan kerja meneliti fail kewangan syarikatnya.

Sedang asyik dia meneliti laporan kewangan tersebut tiba tiba handphonenya berdering. Rupanya panggilan video dari isterinya. Dia menjawab panggilan video tersebut dan bercakap dengan isterinya.

“Abang kenapa tak balik lagi dah pukul berapa ni.” tanya isterinya Julia.
“Cepatlah balik mama dengan Nina tunggu abang nak makan sama sama ni.”

Belum sempat dia berkata kata panggilan video itu terputus. Dia cuba mendail semula tapi tidak berjaya. Handphonenya pula berbunyi menandakan ada pesanan WhatsApp baru diterimanya. Pesanan WhatsApp dari isterinya. Perlahan lahan dibaca mesej WhatsApp tersebut.

ABANG, JULIA PERASAN ADA PEREMPUAN TUA RAMBUT MENGGERBANG KAT BELAKANG ABANG.

Rasyid kaget. Tidak logik itu semua prank dari isterinya. Dia tidak boleh berdiam kaku di situ. Dia perlu memastikan hal itu. Mukanya sudah berkeringat walaupun berada di dalam kedinginan penghawa dingin pejabatnya. Tidak terlintas walau sepatah pun ayat dari kitab suci alquran dalam kepalanya. Kejahilannya dalam agama menghalanginya dari berbuat demikian.

Dalam kiraan satu dua tiga pantas dia memalingkan kepalanya ke belakang. Namun tiada apa apa yang menakutkan di situ. Hanya susunan fail dan buku buku didalam kabinet di belakang kerusinya. Rasyid menghela nafas kelegaan. Dia masih lagi mampu untuk berfikiran positif. Pada fikiranmya mungkin pantulan cahaya dari luar biliknya kelihatan seperti bayangan yang bukan bukan oleh isterinya. Dia mendengus marah setelah memikirkan banyak lagi fail fail yang perlu ditelitinya. Handphonenya disetkan ke flight mode untuk mengelakkan dari diganggu lagi oleh sesiapa lagi.

Dia kembali membelek fail yang masih bersusun di atas mejanya. Sedang asyik dia menyiapkan kerja tiba tiba pintu biliknya diketuk. Rasyid mengusap dadanya akibat terkejut. Tanpa diarahkan pintu biliknya dibuka dari luar dan di muka pintu berdiri seorang pengawal keselamatan. Pak Abu namanya.

“Ya pak Abu, ada apa?”

“Encik Rasyid belum balik ya, tak takut ke duduk sorang sorang kat ofis time macam ni.” tanya pak Abu seakan bergurau.

“Banyak kerja yang saya kena selesaikan Pak Abu, takde masa lah saya nak fikir pasal takut takut tu semua.”

Pak Abu tersengih sahaja mendengar jawapan Rasyid.

“Takpelah kalau ada apa apa saya sentiasa ada kat sini, panggil saja ya.” lalu dia menutup pintu.

“Sibuk je.” Rasyid mengomel tidak puas hati kerjanya diganggu.

Tidak semena mena sesuatu terlintas dalam kepalanya. Sesuatu hal yang agak pelik dan menimbulkan pertanyaan di dalam benak fikirannya. Sesuatu peristiwa yang menggoyahkan akal warasnya pada masa itu. Pak Abu dah m**i. Pak Abu dilanggar lori masa melintas jalan untuk melaporkan diri di pondok pengawal semasa syif malam sebulan yang lalu. Masih terbayang didalam ingatannya lagi keadaan mayat Pak Abu yang masih lagi berlumuran d***h terperosok di bawah lori. “Habis yang datang tadi tu siapa.” fikirannya buntu diasak pertanyaan tersebut.

Jantung Rasyid berdebar kencang. Bagai kedengaran di telinganya degupan jantungnya yang semakin menggila. Namun dia cuba bertenang. Merangka strategi untuk keluar dari bangunan tersebut. Keluar tanpa diganggu oleh makhluk laknatullah yang menjelma tadi. Persetankan kerja yang masih bersisa. Keselamatan dirinya lebih penting dan perlu diutamakan.

Tanpa membuang masa Rasyid mencapai briefcasenya dan berlari keluar dari biliknya menuju ke ruangan lift. Hampir tergelincir dia membrek apabila kelihatan ‘Pak Abu’ seakan menunggunya di hadapan pintu lift untuk turun bersama samanya. Tersengih sengih ‘Pak Abu’ sambil membetulkan kepalanya yang senget dan hampir jatuh ke bawah. Kelihatan d***h memancut keluar mambasahi baju seragamnya.

Rasyid melencongkan lariannya ke arah pintu kecemasan. Pintu yang mempunyai tangga ke bawah. Hanya itulah sahaja pilihan yag dia ada untuk melarikan diri. Setelah sampai, dia menarik pintu kecemasan tersebut dan memyelusup keluar menuju ke laluan tangga. Dengan tergesa gesa dia menuruni tangga tersebut untuk lebih cepat sampai ke tingkat bawah. Dalam kekalutan menuruni tangga dia tiba tiba terserempak dengan Yusman. Ya, Yusman staf yang dibencinya.

Rasyid berhenti untuk menarik nafas. Termengah mengah dia menahan Yusman yang kelihatan sedang mendaki tangga untuk ke atas. Wajah Yusman agak pucat.

“Man, kau nak kemana.” tanya Rasyid dalam masih lagi termengah mengah. Yusman hanya tersenyum dan menunjuk ke atas. Ketika Rasyid melihat ke arah atas itulah Yusman terus menolak Rasyid ke arah menuruni tangga. Rasyid tergelincir dan badannya terhumban beberapa anak tangga ke bawah. Kedengaran bunyi seakan akan tulang temulangnya patah riuk. Lehernya terkulai di atas tangga sambil mulutnya terbatuk batuk mengeluarkan d***h. Matanya terbeliak menahan sakitnya sakaratul maut. Badannya mengejang seketika sebelum melepaskan nafasnya yang terakhir di situ.

‘Yusman’ tersengih dan kemudiannya ketawa terbahak bahak melihat kejadian yang baru berlaku itu. Dia kemudiannya perlahan lahan menghilang seperti kabus melalui dinding tangga kecemasan.

Keesokan paginya Yusman sedang menonton buletin jam satu tengahari di TV15. Hari minggu selalunya dia malas nak ke mana mana. Selalunya dia akan duduk di rumah bersama anak dan isterinya. Berita yang menarik perhatiannya. Dikuatkan sedikit volume televisyennya. Berita berkenaan seorang pengurus sebuah syarikat ditemui m**i di tangga kecemasan Wisma Anggerik. Hampir melompat kegembiraan dia setelah mengetahui berita tersebut. Tapi dia perlu bersikap tenang sahaja di hadapan anak dan isterinya.

“Padan muka kau Rasyid.” bicara Yusman pada dirinya sendiri. Dia tersengih gembira. Gembira dengan kebijaksanaan khadamnya ‘menyelesaikan’ Rasyid dalam masa satu malam sahaja.

Malam itu Yusman mengajak Faizal keluar makan sempena meraikan kejayaan mereka melenyapkan Rasyid dari Tiara Holding. Sambil makan mereka sesekali ketawa mengenangkan peristiwa yang berlaku semalam. Seusai sahaja habis makan mereka berdua keluar menuju ke kereta Yusman untuk pulang. Tanpa mereka sedar di tempat duduk belakang terdapat satu lembaga yang sedang menunggu dari tadi. Menunggu untuk melangsaikan hutang yang belum ditunaikan.

Ketika kedua dua orang rakan sekerja itu sedang berbual menghilangkan kebosanan dengan tiba tiba sepasang tangan hitam berbulu mencekik leher Yusman dari belakang. Yusman panik. Spontan tangannya memaut stereng ke arah kiri. Keretanya terbabas ke lereng bukit. Terumbang ambing memijak tanah dan semak yang tidak rata. Hingga akhirnya kereta tersebut terbalik dan satu letupan terhasil selepas itu. Kedua dua manusia itu tersepit ditempat duduk mereka. Dalam kesakitan Yusman cuba melepaskan diri dari tali pinggang keledarnya. Apakan daya tersangkut. Dia melihat rakannya sudah kaku di tempat duduk sebelah. Muka Faizal hancur dibasahi d***h akibat impak kemalangan yang berlaku tadi. Yusman cuba menggerakkan kakinya namun tidak berjaya akibat tersepit. Api semakin marak membakar kereta tersebut, Yusman menjerit kepanasan. Dikala bayangan maut menyapa, dia melihat satu lembaga hitam bermata merah sedang tegak memerhatikannya. Jeritannya menghilang disebalik api yang semakin ganas membakar kereta tersebut.

Seminggu sebelumnya

“Kau sudah nekad dengan perjanjian ini?” tanya bomoh Sitam. Yusman mengerling ke arah Faizal setelah teragak agak untuk menjawab. Faizal mencuit paha Yusman memintanya memberikan jawapan kepada bomoh Sitam. Yusman mengangguk walaupun didalam hati perutnya masih teragak agak dengan keputusan itu.

“Khadam yang aku beri ini akan membantu kau melunaskan dendam kepada musuh kau.” bomoh Sitam memberi jaminannya.
Yusman mengangguk tanda faham.
“Tapi selepas sahaja hajat kau di penuhi, tunaikan janji kau pada khadam jika mahu selamat.” tegas bomoh Sitam.

Yusman dan Faizal bergilir pandang antara satu sama lain.

Yusman akhirnya bersuara. “Baiklah, saya setuju dengan perjanjian ini dan saya terima khadam ini dengan syarat syarat yang ditetapkan.”

“Ingat janji kau.” bomoh Sitam berpesan buat kali terakhir.

Epilog

Yusman telah melakukan perjanjian semasa menerima khadam daripada bomoh Sitam. Walaupun dendamnya pada Rasyid telah terbalas namun dia terlupa bahawa perjanjiannya akan memerangkap diri dan keluarganya. Mengikut perjanjian, jika khadamnya telah melaksanakan tugas menghapuskan Rasyid maka Yusman perlu memenuhi apa sahaja kemahuan khadamnya.

Yusman tidak menyangka bahawa d***h dagingnya akan menjadi sasaran kemahuan khadamnya. Dia tidak sanggup mengorbankan nyawa anaknya untuk memenuhi tuntutan janji dia dan khadamnya itu. Dia menolak tuntutan khadamnya untuk menjadikan anaknya sebagai korban. Sebagai balasannya Yusman sendiri menjadi korban atas kekhilafannya sendiri.

Mayat Yusman dan Faizal ditemui rentung oleh pihak polis. Begitulah pengakhirannya bagi mereka yang bersumpah tanpa mempedulikan yang hak dengan yang batil. Harus diingat hanya pada Allah sahajalah tuhan yang kita sandarkan harapan dan tempat kita memohon petunjuk.

Sekian.

Cerita ini hanyalah rekaan semata mata. Nama nama yang digunakan adalah tidak berkaitan dengan mana mana pihak yang masih hidup ataupun yang sudah meninggal dunia.

Penulis : WM Azli
Facebook : WM Azli

hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

WM AZLI

1 thought on “Dendam memakan diri”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.