Guru Suraya

Nama aku Suraya, seorang guru Bahasa Melayu. Aku baru sahaja dipostingkan ke sebuah sekolah luar bandar di negeri Pahang, di kawasan yang agak jauh dari pekan. Sekolah tu terletak bersebelahan hutan kecil, dan hanya ada tiga blok kuarters lama yang masih digunakan.

Disebabkan guru lain kebanyakannya dah berkeluarga dan tinggal di rumah sendiri di pekan, aku tinggal seorang diri di kuarters paling hujung. Bangunan kayu dua bilik, sudah uzur dan sunyi.

“Tak ada apa-apa. Tapi jangan jalan sorang-sorang waktu Maghrib,” pesan guru besar sewaktu serah kunci.

Malam pertama di kuarters terasa asing.
Bunyi cengkerik, angin kuat dari celah tingkap reput, dan bunyi bumbung kayu berkeriut-keriut membuatkan aku susah nak lelap.

Sekitar jam 2 pagi, aku terdengar bunyi ketukan di pintu belakang.

Perlahan.
Tiga kali.

Tok… tok… tok…

Aku tengok jam. Siapa ketuk malam-malam begini? Aku beranikan diri jenguk dari tingkap tak ada siapa.
Esok paginya, aku tengok ada kesan tapak kaki kecil… seperti kaki budak, penuh lumpur, menuju ke pintu belakang.

Tapi bila aku ceritakan pada cikgu lain, mereka diam. Salah seorang cikgu senior cuma berkata:

“Cikgu tidur je dalam bilik. Jangan buka pintu malam-malam. Kadang-kadang… budak yang ‘dulu-dulu’ datang.”

Seminggu kemudian.

Gangguan semakin menjadi-jadi.

Aku mula dengar bunyi suara orang menangis di bilik air. Bila aku buka pintu, suara tu berhenti.
Cermin kabur seperti ada seseorang baru selesai mandi.

Satu malam, aku dikejutkan dengan bunyi tapak kaki berlari dalam rumah, seolah-olah budak kecil bermain. Aku buka semua lampu. Kosong.

Tapi di dinding bilik tamu, ada contengan dengan pensel warna:

“Cikgu jahat.”

Akhirnya aku nekad bertanya kepada tukang kebun sekolah.

Dia tarik aku ke tepi, dan berbisik:

“Dulu pernah ada guru nama Cikgu Nani. Dia dera budak murid darjah satu sebab tak pandai membaca. Budak tu bisu… dan trauma. Satu hari dia lari dari kelas, masuk hutan belakang sekolah… dan tak pernah dijumpai semula.”

“Selepas tu, Cikgu Nani pun… m**i tergantung dalam bilik air kuarters yang cikgu duduk sekarang.”

Aku menggigil. Rasa nak muntah.

Malam itu, aku tidur dengan lampu semua terbuka. Tapi tepat jam 3 pagi…

Bilik air tertutup sendiri.

Dan dari dalam… suara budak menangis bergema kuat.
Tangisan makin kuat… makin tinggi nadanya, sampai jadi jeritan.
Tiba-tiba, pintu bilik aku terbuka dengan kuat, dan seorang budak lelaki tanpa mata berdiri di ambang pintu.
Mukanya penuh d***h. Dia tunjuk ke arah bilik air.

“Cikgu Nani… masih kat dalam.”

Aku pengsan malam tu. Bila sedar, aku dah berada di hospital kecil.

Menurut cikgu lain, aku dijumpai pengsan depan kuarters dengan kesan lebam di tangan dan tengkuk seperti dicekik. Mereka akhirnya pindahkan aku ke rumah sewa di pekan.

Sejak itu, kuarters tu dikosongkan.

Tapi kadang-kadang… bila pelajar lalu dekat situ, mereka kata terdengar suara:

“Cikgu… saya nak belajar…”

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Jangan terlepas cerita terbaru.

Akan terus dihantar ke email anda.

We don’t spam! Read our privacy policy for more info.

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.