Perjalanan pulang ke kampung pada malam itu sepatutnya sesuatu yang biasa, sesuatu yang menenangkan selepas penat bekerja di bandar. Kampung aku tidaklah jauh, hanya mengambil masa dua jam perjalanan sahaja. Selepas habis kerja, aku segera mengemas barang yang perlu dibawa pulang, mandi, bersiap, dan terus bertolak. Waktu itu jarum jam menunjukkan pukul 8 malam.
Dalam fikiranku, tepat pukul 10 malam aku sudah boleh tiba di rumah. Tetapi yang berlaku sebaliknya. Jalan penuh sesak, lampu kereta berderet-deret, bunyi hon bersahut-sahutan. Masa berjalan perlahan, dan perjalanan dua jam itu akhirnya berlarutan lebih lama dari yang disangka. Aku hanya mampu mengeluh kecil sambil memujuk hati untuk bersabar.
Apabila semakin menghampiri jalan masuk ke kampung, suasana berubah. Jalan menjadi semakin sunyi, hanya ditemani pokok-pokok besar di kiri kanan, sesekali bunyi cengkerik dan unggas malam menyapa. Hati aku terasa tenang seketika. Angin kampung itu terasa berbeza lebih dingin, lebih nyaman, seakan menyambut kepulanganku.
Namun ketenangan itu tidak lama. Saat aku berhenti di hadapan rumah, aku terpandang kelibat bayang hitam di belakang rumah. Sekilas pandang, aku sangkakan itu ayah. Aku sempat menegur, “Ayah…” dengan suara perlahan. Namun, tiada jawapan. Bayangan itu hanya berdiri kaku. Aku cuba memujuk hati, mungkin ayah tidak mendengar panggilanku.
Aku segera melangkah ke hadapan pintu rumah, mengetuk sambil memberi salam. Pintu terbuka, dan alangkah terkejutnya aku apabila ibu, ayah, dan adik keluar menyambut dengan wajah gembira. Jam pada telefonku menunjukkan pukul 12 tengah malam. Aku sempat bertanya kepada ayah, “Ayah, tadi tu siapa kat belakang rumah? Ada tetamu ke malam ni?” Ayah menggeleng, wajahnya kelihatan sedikit hairan. “Mana ada siapa-siapa, Man. Kau sorang je balik kan? Bukan ada kawan ikut?” Aku menjawab ringkas, “Ya, ayah. Kawan lain balik kampung masing-masing.” Selalunya bila aku bercuti, memang ada kawan yang ikut pulang ke kampung, tapi kali ini aku sendirian.
Esok paginya, aku bercerita kembali kepada ayah. Aku katakan yang semalam aku sempat nampak bayang hitam berdiri di belakang rumah, aku ingatkan itu ayah. Ayah diam seketika, sebelum bersuara perlahan, “Sebenarnya, semalam ayah pun nampak sesuatu. Masa kau bawa kereta masuk, di belakang kereta kau tu… ada bayang hitam menumpang. Sebab tu ayah tanya kalau ada kawan ikut.” Aku terkedu, darah terasa berderau. Ayah menambah, “Ayah tak nak cerita malam tu, takut kau tambah seram. Mungkin makhluk tu ikut kau balik dari perjalanan.”
Aku hanya terdiam. Malam itu, segalanya terasa nyata. Bayang hitam yang aku nampak, dan yang ayah nampak, mungkin bukan kebetulan. Mujur gangguan itu hanya berlaku sekali, dan selepas itu tiada lagi kelibat aneh yang muncul. Namun sehingga kini, aku masih terfikir makhluk apa yang menumpang di belakang keretaku malam itu?
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit