#Nana- Psikosis

Dia membuka mata perlahan-lahan. Terkedip-kedip matanya apabila terlihat cahaya lampu dalam wad itu telah menyilaukan matanya. Dalam pada itu dia hanya mampu terbaring menahan sakit. Satu kesakitan yang sangat menyakitkan! Digagahkan dirinya untuk bangun, namun tidak berdaya. Sungguh! Dia benar-benar tidak ingat apa yang berlaku pada dirinya.

“Dalam wad ke aku?”

Saat ini matanya tepat merenung siling. Namun sedang ralit dirinya merenung siling, terlihat olehnya satu mahkluk seakan dementor dalam filem Harry Potter sedang berpusing berterbangan diatas siling. Liar matanya melihat mahkluk itu yang seakan tidak tentu arah.

“Dementor ke tu?”

Tiba-tiba…..

“KENAPA?”

Dia tersentak!

Terkejut apabila mendengar suara seorang lelaki sedang bertanya KENAPA padanya secara tiba-tiba. Lalu dia menoleh ke kiri. Terlihat ada seorang pesakit lelaki duduk dikatil sebelahnya.

“Kenapa apa bang?” soalan dijawab dengan soalan olehnya.

“Kenapa dengan kamu?” Lelaki itu bertanya lagi.

Dia terdiam. Tidak tahu hendak jawab apa. Sedangkan dia sendiri tidak ingat kenapa dia dimasukkan ke hospital. Lalu tangannya mengusap kepalanya yang sudah berbalut. Berdenyut! Malah kesakitan itu akan menjadi lebih kuat jika dia menggerakkan kepalanya. Terutama pada bahagian kiri kepalanya.

“Kenapa tak nak jawab pertanyaan saya?” Lelaki itu bertanya lagi.

“Saya tak ingat bang. Kepala saya pun masih terasa sakit lagi. Macam kena pukul dengan benda tumpul dari belakang. Mungkin kepala saya terhantuk.”

“Kamu kemalangan agaknya. Itu yang terhantuk. Siapa nama kamu?” balas lelaki itu lagi.

“Saya Hairul. Mungkin betul apa yang abang kata tu.”

Dia kembali terdiam. Kepalanya semakin berdenyut. Dia sendiri tidak pasti, berapa lama dia dimasukkan ke hospital dan dalam berkeadaan begitu. Malah kepalanya yang sakit itu bukan kerana ubat tahan sakit yang diberi doktor itu sudah hilang kesannya, tetapi setiap pertanyaan lelaki itu sangat-sangat meletihkannya. Untuk berfikir dan cuba untuk menjawab setiap soalan lelaki itu sangatlah mengganggu emosinya yang langsung tidak stabil saat ini.

“Abang nampak tak dekat atas siling tu?” Dia cuba menukar topik.

Lelaki itu memandang ke arah siling yang ditunjuk olehnya.

“Saya tak nampak apa-apa pun? Ada apa dekat siling tu?” Lelaki itu memandang siling yang ditunjuknya.

“Entahlah. Macam dementor pulak?” Dia ketawa sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. Berkemungkinan tertawa dengan kebodohan sendiri.

“Dementor? Dalam cerita Harry Potter tu ke?” lelaki itu bertanya.

“Ya, macam dalam Harry Potter. Boleh saya tahu nama abang? Abang duduk hospital ni sakit apa?” Dia pula bertanya soalan pada lelaki disebelah katilnya itu.

“Nama saya Zakaria. Saya kemalangan masa balik dari masjid selepas solat isyak. Sedar saja saya sudah terbaring diatas katil hospital ni.” sambil menunjukkan kakinya yang sudah bersimen disebabkan patah.

“Anak isteri tak datang tengok abang?”

“Ada datang petang tadi. Maaflah saya nak cakap sikit. Kalau Hairul ada ternampak apa-apa, buat tak tahu saja. Tak usah ditegur.” jawapan dan peringatan dari lelaki yang bernama Zakaria itu untuknya.

Dia mengangguk faham. Suasana kembali sunyi. Lelaki yang bernama Zakaria itu mula menyambung baring dikatilnya. Manakala dia memandang dua lagi pesakit dikatil hadapannya. Terdapat dua pesakit lelaki sedang nyenyak tidur diatas katil, memandangkan malam semakin larut.

Siling dipandang lagi. Tiada lagi kelibat mahkluk berupa dementor diatas siling. Ghaib begitu sahaja.

“Dah hilang.” bisiknya.

……………………………………………

Dia semakin gelisah. Tidur malamnya seakan terganggu sebentar tadi. Terlihat kelibat pocong pula mundar-mandir dihadapannya. Sudahlah diganggu mahkluk seakan dementor tadi. Kini kehadiran pocong pula. Sedangkan dia bukanlah orang yang jenis hijab terbuka. Kalau ternampak sebarang penampakan pun sebelum ini, itu hanyalah kerana hantu-hantu itu sengaja hendak menampakkan diri.

Terlompat-lompat pocong itu. Sekejap ke kiri, sekejap lagi ke kanan. Seakan tidak tentu arah dibuatnya. Gelisah. Melihatkan bahasa tubuh dan reaksi spontan pocong itu seakan mahu berkomunikasi dengannya. Cuba menahan rasa takut. Hanya mampu terpaku kaku diatas katil. Pada siapa dirinya mahu meminta tolong?

“Gulp! Apa yang sedang aku lihat ni?”

Dia hanya mampu menelan liur. Suaranya tersekat dikerongkong. Hanya mampu bersuara didalam hati. Kini mulutnya ternganga melihat penampakan pocong secara live dihadapannya. Tubuhnya mula mengeletar tanpa dapat ditahan.

Tiba-tiba….

“TAK BOLEH TIDUR KE BANG?”

Dia disapa seorang pemuda yang katilnya berhadapan dengan katilnya. Sekali lagi dirinya terperanjat! Disapa secara tiba-tiba!

“Ya, tak boleh tidur.” Dia menjawab ringkas.
Sekadar acuh tidak acuh.

“Tak boleh tidur sebab nampak pocong ke? Biasalah bang, buat tak nampak je. Nanti hilanglah dia.” jawapan gerun dari pemuda itu.

Terbeliak matanya mendengar jawapan dari pemuda itu. Serius? Adakah pemuda itu juga nampak pocong tersebut? Siapa pemuda itu?

“Kau pun nampak ke? Aku baru satu malam tinggal sini macam-macam yang aku nampak. Engkau sudah berapa malam kau check in dekat hospital ni? Sakit apa?” Dia mula bertanya kepada pemuda tersebut.

“Aku Kamal. Sudah seminggu aku dekat sini. Aku terlibat dengan kemalangan motosikal. Semalam aku minta nak balik, doktor kata tunggu ujian darah. Kemungkinan esok aku boleh balik kalau ujian darah aku ok.” jelas pemuda yang bernama Kamal itu.

“Engkau kemalangan je, tapi kenapa mesti buat ujian darah?” Dia bertanya lagi, mohon kepastian.

“Selepas kemalangan tu, doktor ada buat x-ray dan ambil darah. Tak sangka ada kuman dalam darah aku. Aku kemalangan tu pun sebab aku nak pergi klinik, sebab aku demam. Mungkin sebab itu agaknya aku demam. Ada kumam dalam darah. Mujur bukan denggi. Lagipun aku rasa nak pitam masa bawa motosikal tu. Sebab tu terbabas.” jelas Kamal lagi.

Dia mengangguk. Berkemungkinan faham dengan penjelasan Kamal itu.

“Kalau nampak sebarang penampakan. Buat tak tahu je. Tidur adalah lebih baik.” Kamal menyambung lagi sambil mengingatkan semula padanya. Agar tidak terlalu “melayan” sebarang penampakan didalam wad. Kemudian Kamal menyambung kembali pembaringannya diatas katil.

Namun hatinya tetap tidak tenang. Dia sendiri tidak pasti kenapa dia bersikap sedemikian. Sudahlah kepalanya terasa sakit, ditambah pula dengan gangguan didalam wad.

“Setakat dementor dan pocong. Apa ada hal! Macamlah aku takut sangat!” Gumamnya kegeraman. Seolah-olah mahu mencabar kehadiran “sesuatu” yang mungkin bakal berlaku.

Tidak lama selepas itu muncul seorang jururawat datang untuk mengambil tekanan darah dan mengambil suhu badannya. Lalu mulutnya dinganga sambil jururawat itu memasukkan termometer raksa kebawah lidahnya dan tekanan darahnya diambil sambil jururawat itu melihat pada bacaan.

“Semua normal encik Hairul.” ringkas kata-kata dari jururawat itu sambil tersenyum kepadanya. Dia seakan tersipu malu apabila jururawat itu memandang dan tersenyum kepadanya. Sesekali mengerling kearah tanda nama jururawat itu.

“Ada chance agaknya aku nak ngorat nurse tu. Sedap namanya Farah Asyikin. Secantik orangnya.” bisiknya sendirian. Sesekali tersenyum meleret apabila terbayangkan keayuan wajah jururawat muda itu.

…………………………………

PANGGG!!

Dia terjaga lagi. Kali ini dia benar-benar marah! Di usap-usap pipinya yang kesakitan dek kerana ditampar secara tiba-tiba ketika matanya baru hendak terlelap.

“Gila! Siapa yang tampar aku hah? Tak ada kerja lain ke? Bodoh!” Dia benar-benar berang. Bukan niatnya untuk memarahi sesiapa, tetapi gangguan kali ini melampau!

“Sudah sakit, buatlah cara sakit! Ada hati nak tampar aku!” gumamnya kegeraman.

Dia tidak pasti pada siapa yang perlu dimarahnya. Pada mahkluk dementor? Pocong? Zakaria? Ataupun Kamal?

“Stresslah kalau macam ni!” Dia hanya mampu menjerit didalam hati. Hendak menjerit sekuat hati takut Zakaria, Kamal dan seorang lagi pesakit terkejut. Hendak tak hendak, terpaksalah dia menahan perasaan itu didalam hati. Kini dia semakin kusut.

Tiba-tiba…

“KENAPA BANG?”

Dia kembali terdiam!

“KENA TAMPAR JUGA KE BANG?” Suara lelaki itu bertanya lagi.

Sekali lagi dia terperanjat! Namun hanya mampu dipegun sahaja tubuhnya. Diperhati Kamal. Tiada reaksi, hanya dengkuran Kamal sahaja yang kedengaran.

“Sayalah bang!”

Rupanya pesakit lelaki bersebelahan dengan katil Kamal sedang menegurnya.

“Kau ke yang tegur? Aku ingatkan Kamal yang disebelah katil kau tu yang tegur?”

“Sayalah yang tegur abang tadi. Tapi jangan ingat saya yang lempang muka abang tu. Saya belum lagi kena lempang dengan sesiapa.” seloroh lelaki itu.

“Kau tahu siapa yang lempang muka aku tak masa aku tidur tadi? Sebelum tu aku nak panggil nama kau apa?”

“Abang boleh panggil saya Am saja. Saya tahu siapa yang lempang muka abang tu. Mungkin abang ada cakap besar agaknya.” Am segera duduk sambil menyandarkan badannya dikepala katil.

“Siapa yang lempang aku? Orang atau bukan orang?” Dia semakin cuak.

“Bukan orang bang. Tu dia ada dibawah katil abang tu. Terjenguk-jenguk kepalanya nak keluar. Seganlah tu.” sambil menunjukkan kearah bawah katilnya. Terlihat senyuman leret dari Am sambil memandang sesuatu dibawah katilnya.

“Kenapa kau lempang dia? Jangan kacau orang. Duduk diam-diam dekat bawah tu….” seakan Am sedang berkomunikasi dengan “sesuatu” dibawah katilnya.

Mendengar sahaja ayat-ayat yang menakutkan dari mulut Am disamping senyuman meleretnya yang menyeramkan, ini membuatkan dirinya bertambah takut. Difikirannya mula memikirkan yang bukan-bukan. Ada apa bawah katilnya? Siapa yang budak Am tu tegur?

Lalu sedaya upaya dirinya cuba bangun dan duduk sambil bersandar dikatil sambil memandang tepat ke wajah Am.

“Am, kau cakap dengan siapa dekat bawah katil aku ni? Kau ni menakutkan akulah!”

Am ketawa. Geli hati melihat gelagatnya yang seperti kanak-kanak. Kanak-kanak yang sedang dalam ketakutan sambil memeluk tubuh diatas katil.

“Abang tidurlah. Rasanya dia tak akan kacau lagi.” Am memberi jaminan kepadanya. Lalu Am kembali baring dan menyambung tidurnya.

Dia hanya mengangguk. Kemudian dia memegang kepalanya yang berbalut itu. Kali ini kepalanya terasa ringan sedikit, malah kesakitan yang dirasakan tadi semakin kurang. Dia berasa sedikit lega.

Namun kemungkinan kelegaannya itu tidak mungkin bertahan lama. Kini dia tidak tahu apa yang perlu dilakukannya. Bangun dan terus ke bilik air? Lagipun dia tidak tahu apa yang menantinya dibawah katil. Sambung kembali tidur? Kemungkinan peluang untuk ditampar lagi amatlah cerah.

Gulp!

Kini, dia hanya mampu duduk diatas katil tanpa tidur walaupun matanya semakin berat untuk berjaga. Hanya menanti fajar kembali meninggi. Namun, sanggupkah dia bertahan?

……………………………………….

Dia tersentak lagi! Terjaga lagi dari tidurnya. Tidur?

Damn!

“Kenapa aku boleh tertidur? Aku rasa macam terjaga tadi.”

Lalu dengan perasaan berat ditambah pula dengan tidak cukup tidur, digagahkan juga untuk bangun. Tetapi kali ini dan sekali lagi kepalanya kembali sakit. Malah kali ini kesakitannya lebih lagi.

“Argh! Sakitnya!” Dia merintih kesakitan. Kepalanya terasa seakan digenggam dengan kuat. Terasa cengkaman itu hingga ke pangkal lehernya. Ya, dia benar-benar dalam kesakitan. Dia semakin panik!

“Sakitnya…!”

Lalu badannya dianjak sedikit kebelakang untuk menekan butang yang berada dibelakangnya. Namun dia gagal! Dia tidak dapat menekan butang tersebut memandangkan badannya semakin lemah dek kerana penangan sakit dikepalanya.

Dia kembali rebah ke tilam. Matanya mula terpejam. Terbaring lemah menahan kesakitan.

Tiba-tiba….

“BUKA MATA! BUKA MATA!”

Terdengar suara seseorang menyuruhnya membuka mata.

“BUKA MATA! BUKA MATA!”

Dia membuka matanya perlahan-lahan. Terbeliak matanya melihat lampu koridor diruangan matanya. Sesekali tersengguk-sengguk kepalanya mengikut rentak dan kelajuan seakan dirinya dibawa dengan troli pesakit. Troli?

Terlihat ada dua orang lelaki berpakaian seperti petugas hospital sedang mengusungnya dengan troli pesakit. Dia memandang dua orang lelaki yang sedang membawanya. Seakan dia kenal dengan wajah-wajah itu. Siapa mereka?

ZAKARIA? AM?

“Abang Zakaria? Am? Kemana korang nak bawa aku ni? Korangkan pesakit macam aku?”

Dia bertanya kepada kedua-dua mereka. Dia cuba untuk bangun namun tidak berjaya. Kerana kedua-dua tangannya diikat pada besi dikiri dan kanan penghadang troli pesakit itu.

“Syamsul baring! Jangan banyak bercakap!” seorang lelaki berpakaian seperti petugas hospital yang disangkanya Zakaria itu bersuara.

“Abang Zakaria cakap apa ni? Siapa Syamsul? Aku ke Syamsul? Nama aku bukan Syamsul, nama aku Hairul! Hairul lah bodoh!”

Mereka yang menyorong troli itu berpandangam sesama sendiri. Malas hendak melayan karenahnya.

“Tuan Zaki, dia dah buat perangai balik.” salah seorang lelaki itu memandang kepada seorang pegawai polis yang sedari tadi membontoti mereka.

“Mana mungkin dia boleh disabitkan dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Kalau dia benar-benar disahkan gila. Dia boleh terlepas begitu sahaja.” Inspector Zaki mula bersuara.

“Kau Kamalkan! Kenapa kau nampak macam polis? Korang ni, betul-betul buat aku serabut! Kau orang semua ni gila! Mana jururawat kesayangan aku tu, Farah Asyikin! Dari tadi aku tak nampak dia! Panggil dia! Cakap dekat dia aku sayang dia. Cintakan dia!”

Syamsul memandang tepat kewajah Inspector Zaki. Sehingga meronta-ronta meminta dirinya dilepaskan. Mujur tangannya telah diikat besi dikiri dan kanan troli.

“Syamsul, diam Syamsul. Kami nak bawa awak ke tingkat empat. Sekejap nanti kita sampai. Awak akan dapat bilik baru.” Inspector Zaki cuba mententeramkan Syamsul.

“Maaf Inspector Zaki, saya baru sahaja bekerja dihospital Bahagia ni. Boleh saya bertanya. Apa kes Syamsul ni?” petugas hospital Bahagia yang menyorong troli itu mula bertanya kepada Inspector Zaki.

“Dua bulan yang lalu dia telah ditahan atas tuduhan membunuh isterinya, Farah Asyikin. Seorang jururawat di salah sebuah hospital kerajaan. Sudah dua tahun berkahwin tetapi belum dikurniakan anak. Masalahnya, Syamsul sentiasa mengesyaki isterinya ada hubungan sulit dengan lelaki lain. Dia mendakwa isterinya curang. Ada hubungan dengan lelaki yang bernama Hairul. Entah dimana silapnya, di handphone isterinya tertera nombor telefon Hairul. Maka jadilah pergaduhan besar. Syamsul terus menghubungi Hairul untuk menyelesaikan masalah antara mereka. Tetapi, Hairul tak muncul-muncul. Jadi Syamsul fikir dia sedang dipermainkan Hairul. So, isterinya terpaksalah menerima azab. Dia memukul isterinya, wajah isterinya ditoreh dan kemaluan isterinya dirodok dengan batang mop!”

Melopong mulut mereka mendengar kronologi yang diceritakan oleh Inspector Zaki itu.

“Jadi Hairul tu macam mana? Dia hidup lagi ke?” petugas hospital itu bertanya lagi.

“Hairul masih hidup lagi. Sudah berkahwin pun sekarang. Sebenarnya Hairul memang dalam perjalanan hendak ke rumah Syamsul pada hari kejadian tu. Entah mana silapnya, Hairul kemalangan. Motosikalnya terhumban ke dalam parit. Memang ada bukti dan saksi dia kemalangan masa tu. Lagipun Hairul bukanlah teman lelaki Farah Asyikin seperti yang disangka Syamsul. Hanya seorang pesakit yang kerap datang ke hospital dimana Farah Asyikin bekerja. Hairul ada migran yang agak kronik. Kerana terlalu kerap sakit kepala itulah dia perlu ke hospital. Kata Hairul, takut ada penyakit lain yang lebih bahaya. Nombor talifon Hairul yang berada dilog panggilan di handphone Farah Asyikin, mungkin ketika itu dia hanya ingin menukar tarikh temu janjinya dengan doktor yang merawatnya, itu sahaja. Tidak lebih dari itu.” sambung Inspector Zaki lagi.

Kedua-dua petugas hospital yang membawa troli itu mengangguk faham. Seakan memahami kisah tragik yang disampaikan oleh Inspector Zaki itu.

“Sebab itu kami terpaksa asingkan dia Tuan. Dia antara pesakit psikologi. Bahaya dia ni. Nasib baik budak lelaki yang sebilik dengan dia tu tak mati dicekeknya. Dementor dia kata budak tu. Lelaki yang duduk di katil hujung tu pula nyaris tak mati ditikamnya. Ada ke dia kata lelaki tu pocong! Gila! Mujur saya sempat ketuk kepalanya dengan kerusi! Itu yang dia sakit sampai pengsan tu. Lagipun mengikut rekod, dia memang ada penyakit Psikosis ni. Bergantung dengan ubat sejak remaja lagi. Tapi mungkin selepas dia berkahwin dan yakin dia sudah sembuh, itu yang dia tidak terus makan ubat.” tambah pembantu perubatan itu lagi.

“Nampaknya peguam bela Syamsul harus membuktikan secara klinikal. Itu lebih baik berbanding hukuman mati Seksyen 302. Ia harus mempunyai bukti kukuh, takut dia berpura-pura gila kerana mengikut tuntutan nafsu amarahnya kepada Farah Asyikin.” Terang Inspector Zaki lagi.

“Ok Syamsul awak sudah sampai di bilik baru.”

Akhirnya mereka tiba ke destinasi. Dimana Syamsul akan ditempatkan disatu bilik. Bilik pengasingan untuk seorang pesakit. Seorang seperti Syamsul. Seorang psikosis!

– tamat –

Hasil karya** suhana mat lazim
Cerpen

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Suhana Mat Lazim
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

23 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.