SAKA HARIMAU

TAJUK : SAKA HARIMAU

Pada zaman dahulu, masyarakat Melayu tidak mempunyai sebarang teknologi moden seperti yang sedia ada pada masa sekarang.

Maka terjadilah perebutan dan persaingan untuk mendapat tempat tinggal dan makanan, sekiranya tidak ada saka mereka akan ditindas oleh orang lain.

Maka dengan itu saka diambil untuk menjaga kepentingan dan keselamatan diri dan keluarga. Saka akan diperturunkan pada waris yang ada pertalian d***h dengan tuan saka.

Sebagai contoh, saka harimau dijadikan alat tunggangan atau kenderaan untuk pergi ke sesuatu tempat yang jauh dalam sekelip mata, untuk menjaga kebun dan sebagainya.

Pada suatu pagi di kedai kopi Mak Yah, sedang hangat membincarakan tentang kes curi buah durian di kebun Pak Sahak.

“Siapa punya kerja lah ni Sahak?” soal Pak Mat.

“Mana aku tahu, kalau aku tau memang aku dah kerjakan mereka cukup-cukup.”

“Habis buah durian aku dibedalnya, ” jawab Pak Sahak.

“Geramnya aku, puihhhhhh,” kata Pak Sahak sambil meludahkan air kopinya yang terasa pahit.

Dia berasa sangat kecewa kerana dia baru sahaja bercadang untuk menjual hasil kebunnya di pasar. Dapatlah dia membeli sedikit barang dapur.

Anaknya di universiti juga memerlukan duit. Tapi nampaknya dia terpaksa menunda dahulu hajatnya untuk menghantar duit belanja pada anaknya itu.

Sudah tiga hari berturut-turut hasil kebunnya dikebas orang. Mahu hatinya tidak panas. Walaupun dia masih ada hasil kebun getah, namun tidak seberapa hasilnya.

Lagipun semenjak dua menjak ini, hujan selalu turun membataskan aktiviti dia untuk menoreh. Disebabkan itu juga dia tidak turun menjaga kebun buahnya.

“Eh Sahak, pagi tadi aku tengok Mak Nab tu elok je kutip hasil buah durian dengan anak dia si Yam yang sewel tu,” kata Pak Manap.

“Entah-entah Mak Nab kot yang curi durian kau?”

“Atau tu kerja anaknya Yam sewel tu,” ujarnya lagi.

“Ishh, kau ni Manap tak baik tuduh orang macam tu sekali,” tegur Pak Berahim selaku ketua kampung dan suami kepada Mak Yah.

“Manalah tau, kebun diorang kan sebelah menyebelah je.”

“Sepatutnya kalau durian Sahak kena kebas, durian dia pun kena kebas jugak.”

“Ni tak, aku tengok bukan main banyak lagi duriannya,” ujar Pak Manap.

“Ah sudahlah, daripada melayan kamu semua baik aku balik.”

“Aku balik dulu,” kata Pak Sahak meminta diri.

Makin panas pula hatinya berada di situ. Perasaan syak wasangka mula terbit di hatinya. Hairan kenapa hanya duriannya sahaja yang dikebas.

Kalau ikutkan hati, memang dia berasa tidak berpuas hati dengan Mak Nab. Hasil kebun Mak Nab langsung tidak diusik.

Mak Nab bersama anaknya, Yam baru sahaja pulang ke kebun. Sekejap lagi tauke cina akan datang mengambil hasil kebunnya untuk dijual.

Hanya Yam sahaja anaknya yang tinggal bersama. Anak yang lain tinggal agak berjauhan kerana bekerja makan gaji dan semuanya sudah berumah tangga.

Yam juga sebenarnya sudah bernikah namun telah diceraikan setelah dia tiba-tiba jatuh sakit. Selepas daripada itu, dia menjadi agak kurang waras.

Selalu mengatakan yang dia itu isteri dan mempunyai anak bersama sultan. Kemana-mana sahaja dia pergi dia akan bercerita akan hal tersebut pada semua orang.

Oleh kerana hal itu, orang kampung memanggilnya Yam Gila atau Yam Sewel. Hakikatnya Yam memang mempunyai anak. Yati dan Imah dan kedua-duanya berhijrah ke selatan tanah air untuk bekerja.

Tinggallah Yam bersama Mak Nab di kampung. Saling mengharapkan satu sama lain. Mak Nab sudah tua. Umurnya sudah menghampiri satu abad.

Tidak lama kemudian tauke cina sampai. Gembira hati mereka berdua kerana penat lelah mereka pagi tadi membuahkan hasil. Kebetulan Pak Sahak lalu di depan rumah Mak Nab lalu dia singgah.

“Amboi banyak nampak durian Mak Nab kutip hari ni,”Pak Sahak menegur.

” Alhamdulillah syukur. ”

” Tak banyak mana pun Sahak, ada la cukup-cukup untuk jual buat makan kami dua beranak,” jawab Mak Nab.

” Kebun kamu macam mana Sahak, banyak tak hasil?”

” Itulah hajatnya saya kemari ni, durian saya licin dikebas orang.”

“Entah-entah Mak Nab dengan Yam kot yang kebas durian saya.”

“Saya nampak meriah je durian yang Mak Nab tolak kat apek cina tu,” Pak Sahak menyindir.

“Oh, jadi kau menuduh kami mencuri!”

“Sebelum aku libas dengan parang ni baik kau berambus Sahak!” jerit Mak Nab.

Pak Sahak dengan cepat menghidupkan enjin motorsikalnya lalu berlalu pergi. Takut juga dia kalau Mak Nab betul-betul melibasnya dengan parang.

Memang satu kampung tahu Mak Nab seorang yang panas baran. Semua orang tidak berani membuat hal dengannya.

Dia juga sebenarnya takut, tetapi disebabkan duriannya hilang dikebas orang, dia seakan terlupa akan hal tersebut.

“Duan, malam ni macam mana projek kita?”

“Jadi tak jadi?” soal Bidin.

” Wey mestilah jadi, aku dah check memang line clear,” jawab Duan.

“Okay cun malam ni kita jumpa kat sini.

Mereka berdua pemuda kampung tersebut. Kutu rayau di dalam kampung tersebut. Jadi pada malam itu mereka merancang untuk mencuri durian di kebun Pak Sahak.

Malam itu habis dikebasnya durian Pak Sahak kerana mereka menunggu durian gugur sampai waktu dinihari.

Namun setelah mendapat hasil curian yang cukup banyak, sifat tamak terus merajai hati. Mereka merancang untuk ke kebun sebelah iaitu kebun Mak Nab.

Grrrrrrrrrrr.

Grrrrrrrrrrrrrr.

“Eh, bunyi apa tu?” soal Bidin.

“Mana?”

” Takkan kau tak dengar?”

Grrrrrrrrrrrr…

“Haa, tu kau dengar tak?” soal Bidin lagi.

Tiba-tiba ada satu kelibat melintasi mereka. Kelibat yang besar seperti lembu tapi pergerakannya terlalu pantas. Mereka berasa tidak sedap hati.

Roaaarrrr!

“Bunyi rimau la wey!” jerit Bidin.

Tanpa sempat mereka memusingkan badan untuk lari, tiba-tiba kedengaran sesuatu berjalan di sebalik pohon durian. Langkah mereka berdua terhenti seakan terkunci. Mata mereka memerhati keadaan sekeliling.

Muncul seekor harimau yang besar di hadapan mereka. Tidak seperti harimau yang biasa mereka pernah lihat dan dengan perlahan-lahan menghampiri mereka.

Saiznya sebesar kerbau malahan lagi besar dari itu. Matanya merah menambahkan lagi kebengisannya. Taringnya tajam menyeringai sedia untuk mengoyak daging mangsa.

Duan dan Bidin kedua-duanya terkencing dalam seluar. Buah durian yang dibimbit jatuh terhempas mengenai kaki. Namun seakan tidak terasa sakitnya memikirkan bahaya di hadapan mereka.

“Ha… ha… haa.. haantu!” jerit Bidin.

Grrrrrrr.

Roaaaaaarrrrr.

Saka harimau Mak Nab mengaum berkali-kali sambil mengelilingi mereka berdua. Dari jauh di dalam kepekatan malam Mak Nab berdiri di balik pohon durian. Mulutnya terkumat kamit membaca sesuatu.

Saka belaannya kelihatan berundur daripada Bidin dan Duan. Mereka berdua bangkit lalu melarikan diri menuju ke kereta lalu berlalu pergi. Masing- masing tidak berkata apa-apa kerana ketakutan.

Keesokannya riuh di kedai kopi, durian Pak Sahak dicuri. Langsung tiada hasil yang tertinggal. Namun yang menjadi tanda tanya durian di kebun Mak Nab tidak pula diusik. Meriah mereka mengutip hasil.

Itu menjadi tanda tanya pada orang kampung dan terutama sekali Pak Sahak. Manakala Bidin dan Duan tidak keluar rumah kerana demam panas dan meracau – racau.

Durian yang mereka curi masih lagi berada di dalam kerana Bidin. Tiada daya untuk mereka keluar untuk menjual hasil curian mereka ke pekan. Orang tua masing-masing kehairanan dengan gelagat anak mereka.

Dalam kepekatan malam, Mak Nab pulang ke rumah dengan menunggang saka harimaunya. Setibanya di rumah disediakan olehnya makanan untuk dijamu pada Awang yang sedang menunggu di bawah rumah.

Saka harimau tersebut diberi nama Awang. Saka yang diwarisi daripada arwah ibunya. Sambil meracik sirih dia terkenangkan kisahnya yang lalu. Kisah di mana dia mewarisi saka daripada arwah ibunya.

Arwah ibunya dulu dikenali sebagi bidan kampung. Sebut sahaja nama Mak Mah pasti semua kenal termasuk dengan kampung sebelah. Mak Mah bukan sahaja arif dalam perbidanan malah handal mengurut.

Boleh dikatakan setiap hari akan ada yang bertandang untuk berubat. Semasa Mak Mah sedang berubat, saka belaannya pasti ada di sekitarnya. Kadang-kadang dia bertingkah aneh ketika mengubati pesakitnya.

Merangkak mengelilingi pesakit seakan pergerakan seekor harimau. Hal itu sedikit sebanyak menakutkan pesakit namun demi kesembuhan, mereka hanya mengabaikannya.

Bukan mereka tidak tahu Mak Mah ada membela saka namun pada zaman dahulu mereka sangat bergantung padanya. Hal itu seolah menjadi perkara biasa. Berbanding orang yang membela anak kerak, pelesit dan toyol untuk tujuan yang jahat.

Ayah Mak Nab m**i muda. Jadi ibunya membesarkannya dan adik beradik yang lain seorang diri. Mak Mah sering keluar bertapa di sebuah bukit, jadi Mak Nab selaku anak sulung akan menjaga adik beradiknya.

Mak Mah tidak risau meninggalkan anak-anaknya kerana dia telah mengarahkan saka harimaunya menjaga mereka sementara dia tiada. Sesiapa yang berniat jahat pasti akan berhadapan dengan Awang dahulu.

Setelah Mak Mah meninggal dunia di usia 112 tahun, Awang diwariskan kepadanya. Menurut ibunya, saka tersebut hanya akan diwariskan kepada pewaris wanita sahaja dan Mak Nab satu-satunya waris wanita yang ada.

Sudah dua hari Bidin demam panas. Pada malam itu, dia terjaga dari tidur. Badannya terasa lemah. Matanya terasa berpinar-pinar. Dia memandang sekeliling yang gelap memandangkan semua orang sudah tidur. Tiba-tiba Bidin terdengar sesuatu.

Grrrrrrrr.

Grrrrrrrrrr.

Bidin menggenyeh-genyeh matanya berulang kali. Tiba-tiba dia melompat berundur ke belakang. Alangkah terkejutnya dia apabila memandang seekor harimau berada di biliknya lalu dia menjerit ketakutan.

Allahuakbar!

Mak!

Mak!

Tolong!

Dia menjerit meminta tolong. Namun apabila kedua orang tuanya tiba ke dalam bilik, penampakan harimau tersebut telah tiada. Mereka hanya beranggapan anaknya mengigau.

Namun Bidin tetap berkeras dan pasti apa yang dia lihat tadi benar-benar wujud di depan mata. Kejadian tersebut tidak terhenti setakat itu sahaja. Bidin dan Duan berterusan diganggu oleh penampakan harimau tersebut.

Lalu pada suatu hari, mereka membuat keputusan untuk menceritakan hal yang sebenarnya berlaku sebelum mereka diganggu. Kejadian tersebut diceritakan pada orang tua masing-masing bersaksikan Pak Berahim selaku ketua kampung.

Akhirnya, perbuatan mereka diketahui oleh orang ramai. Segala persoalan orang kampung terutama Pak Sahak akhirnya terjawab. Sekaligus nama Mak Nab dapat dibersihkan dan terlepas daripada tuduhan.

Ketika diperiksa, durian di dalam kereta sudah membusuk. Pada awalnya, hampir mengamuk juga Pak Sahak namun setelah ditenangkan akhirnya dia, Bidin dan Duan berdamai setelah bermaaf maafan.

Pak Sahak juga sempat bermaafan dengan Mak Nab. Semuanya kembali seperti sediakala. Tetapi malangnya orang mula bercakap tentang Mak Nab yang membela saka harimau. Hal tersebut hangat diperkatakan ketika itu.

Namun di sisi lain, tiada lagi orang yang berani mengacau dan membuli keluarga Mak Nab terutama anaknya, Yam. Mak Nab hanya mengabaikan sahaja apa yang menjadi buah mulut orang kampung.

Tidak lama kemudian, Mak Nab meninggal dunia di usia lebih satu abad kerana sakit tua. Dia meninggal di hospital lalu jenazahnya dibawa pulang ke rumah untuk diuruskan.

Syukur kerana sepanjang proses menguruskan jenazah, tiada hal-hal aneh dan tidak diingini berlaku. Jenazahnya diuruskan seperti biasa. Tibalah pada malam kedua setelah kematian Mak Nab.

Anak-anaknya mula diganggu dengan bunyi suara harimau di waktu tengah malam. Ada juga yang menyatakan mendengar dinding rumah dicakar dari tengah malam sampai ke subuh.

Apabila diperiksa keesokan harinya, memang terdapat kesan cakaran pada dinding di bahagian luar rumah. Jiran-jiran arwah juga turut menceritakan selalu melihat kelibat harimau di rumah arwah Mak Nab.

Anak lelakinya turut mengalami pengalaman yang agak seram. Apabila dia terjaga dari tidur. Seluruh badannya didapati ada kesar cakaran. Lalu mereka semua bersepakat untuk berubat dan melepaskan saka tersebut.

Sudah pasti ia bukan mengambil masa yang singkat. Setelah setahun baru mereka bebas dari gangguan-gangguan daripada saka harimau tersebut. Perawat yang merawat mereka tersebut ada menceritakan dia turut hadir ketika proses pengurusan jenazah Mak Nab.

Dia ada melihat seekor harimau di bawah rumah. Wajahnya dalam keadaan sedih. Matanya bergenang dengan air mata menangisi pemergiaan tuannya. Apatah lagi pemergian tuannya tanpa sempat ia diwariskan.

-TAMAT-

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

MAD PI

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.