Tetamu Senja

Kisah ini terjadi lebih kurang 5 tahun lepas. Ketika itu, aku masih lagi bekerja sebagai Pegawai Sumber Manusia di sebuah syarikat minyak dan gas ternama di Sarawak. Aku perlu berada di Bintulu keesokan hari untuk satu aktiviti syarikat klien. Usai menyiapkan kerja di pejabat, aku mengemaskan meja aku dan bersedia untuk mengharungi perjalanan selama dua jam setengah dari Miri ke Bintulu. Jam menunjukkan 3 petang. Aku fikir, mungkin ada baiknya jika aku beli snek di McDonald dahulu buat bekalan. Mana lah tahu ada kesesakan lalu lintas di Sungai Plan nanti, tidaklah aku lapar sangat sementara menunggu makan malam.

Perjalanan agak santai. Hanya lori sahaja yang banyak diatas jalan raya. Ternyata bukan aku seorang yang bermusafir ke bandar ini, bisik hati kecilku. Aku selamat tiba di Bintulu. Aku menghantar satu mesej kepada sahabat aku yang kebetulan ada urusan di bandar yang sama. Aku mengajak nya untuk makan malam bersama selepas isyak. “okey nanti aku on the way aku roger kau” itu balasnya kepada mesej aku.

Selesai urusan daftar masuk, dan setelah mendapat kunci bilik hotel aku menghempas tubuhku ke katil. Jam menunjukkan 6 petang. “cantik pulak cuaca hari ini biarlah aku buka tingkap bilik untuk menikmati angin petang”. Entah kenapa waktu itu aku teringat pesanan ibuku yang berbunyi “pastikan cermin, dan pintu ditutup sewaktu maghrib. Hari bertukar ke senja, kemudian menjadi malam. Dua malam akan bertembung dan satu pintu untuk mereka akan terbuka. Pandai- pandai jaga diri”. “eh, biarlah. Lepas ini aku tutup lah”. Tanpa aku sedari, aku tertidur. Aku hanya tersedar ketika terdengar azan maghrib berkumandang dari surau yang berdekatan. “alamak, macam mana boleh tertidur pulak. Tunggu azan habis dulu lah baru aku tutup tingkap ini”.

Bilik hotelku tidaklah besar sangat. Cukup untuk memuatkan satu katil king dengan sebuah almari berpintu kaca. Selesai menutup tingkap aku bergegas ke almari untuk mengambil tuala. Tetapi langkah aku terhenti. Aku berdiri memerhatikan pintu kaca almari tersebut. Entah kenapa hatiku berdebar – debar, didalam nya seperti ada satu badan berwarna putih yang berambut panjang. Ini bukan kali pertama aku menginap di hotel itu jadi aku tahu lah bagaimana rupa almari itu kosong atau tidak. “eh mungkin aku keletihan, itu hanya bayangan sahaja”. Aku meneruskan langkah aku lantas membuka pintu almari kaca tersebut. Ternyata ianya kosong, hanya ada papan seterika. Bulu roma aku meremang. Aku membatalkan hasrat untuk mandi, aku ambil kunci kereta dan dompet lalu keluar meninggalkan bilik tersebut.

“letih semacam kau, nasib baik aku belum balik rumah lagi kalau tidak bertelur lah kau tunggu aku bersiap”. Sahabat aku pun sampai. Kami makan di salah sebuah restoran terkenal dikalangan penduduk tempatan di kawasan medan central. Aku ceritakan apa yang aku alami kepadanya. “kau kepenatan tu kot, balik nanti mandi cepat kemudian tidur lah”. Kami meninggalkan restoran tersebut pada jam 9pm. “kau jaga diri lah, ada apa mesej je aku tau”. Hatiku rasa tidak tenteram untuk balik semula ke bilik tersebut tapi aku fikir, jika ikutkan perasaan ini sampai ke sudah lah nak takut. Aku menyalin pakaian untuk mandi.

Sebelum itu, aku pasang dahulu tv supaya tidak terasa sunyi. Selesai mandi, aku pun berbaring di katil. Aku terjaga kerana terdengar bunyi air di bilik mandi. “aku kan dah tutup pili air tadi rosak kot”. Aku bangun lantas berjalan ke bilik air. Paip di sinki terbuka. Setelah menutup paip tersebut aku berbaring semula. Tidak lama kemudian aku terdengar bunyi “flush” seolah- olah ada orang menggunakan tandas. Dada aku mula berdebar- debar. Sekali lagi aku pergi ke tandas untuk memeriksa bunyi air tersebut, mana lah tahu ada pencuri masuk. Ternyata tidak ada sesiapun. Bilik aku yang terang dirasakan gelap, seram seolah aku tidak keseorangan.

“kalau kau ada dekat sini janganlah ganggu aku, aku cuma nak berehat”. Aku menguatkan tv serta menarik selimut. Semua lampu yang ada di bilik tersebut aku buka supaya tidak gelap. Aku bukanlah orang yang boleh tidur dalam suasana terang tapi untuk malam itu, biarlah. “dah tak dapat nak tidur semula pulak, tgk Instagram dulu lah”. Aku berselubung didalam selimut. Tidak lama selepas itu, selimutku ditarik. Bulu roma aku meremang, aku rasa seram sejuk. Aku melompat dari katil dan berlari keluar. Mujurlah kunci kereta dan dompet aku sentiasa aku simpan di sebelah bantal, kalau ada apa- apa senang aku lari itu yang aku fikirkan. “kau dah tidur ke, aku kat luar hotel ni sumpah aku takut”. “tak, kenapa kau ok ke tak ni”. Sahabat aku mungkin perasan suara aku sedikit bergegar. “jap aku pergi ambik kau. Jap tau”.

15 minit kemudian sahabat aku sampai. Aku ceritakan semua yang aku alami dari senja tadi kepadanya, aku juga memberitahunya yang barang aku masih ada lagi didalam bilik tapi aku tidak mahu pergi ambil berseorangan. “takpa, lepas subuh esok kita pergi ambik. Aku teman kau bersiap kat sana sekali. Malam ini kau tumpang lah di bilik sewa aku dulu”. “awal check- out cik, banyak kerja ya hari ini?” receptionist itu menyapa aku. Jika difikirkan, untuk check- out pada jam 6 pagi sangatlah awal. Aku hanya senyum sambil berkata “ya, saya mahu balik terus ke Miri selepas meeting nanti”.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Ibu Yusuf

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 24 Average: 4.7]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.