TUAN RUMAHKU, KAK SITI

GEDUK! GEDUK! GEDUK!

“Bunyi itu lagi..” omongku, separa sedar.

Terkebil-kebil mataku dalam pembaringan. Dengan perlahan aku bangun. Ku kerling jam di dinding. Pukul 3.03 pagi.

“Kenapalah dia ni suka cuci baju waktu macam ni?” aku mendengus kasar.

“Selalunya orang cuci baju waktu siang. Ni subuh buta masa orang tidur pula nak buat kerja.” bebelku seorang diri sambil menggaru kepala yang tidak gatal.

Kak Siti. Tuan rumahku yang sangat misteri. Aku ingat lagi, dua bulan lepas semasa aku baru berpindah ke rumah ini, aku hanya pernah melihat separuh wajahnya sahaja.

Waktu tu, dalam jam lima petang aku sampai di halaman rumah. Salam kuberi tapi tiada yang menyahut. Kemudian pintu rumah terbuka sendiri. Perlahan-lahan aku menapak masuk.

“Assalamualaikum.. kak Siti? Saya Ain, penyewa baru tu. Tadi saya ada telefon.” pelik. Pintu terbuka, tapi orangnya tiada. Liar mataku meninjau sekeliling.

“Kunci rumah aku letak kat meja.” tegur satu suara. Garau.

Aku terkejut. Aku lihat tuan rumah itu sedang mengintai dari balik dinding. Yang kelihatan hanya separuh wajahnya saja. Dah macam hantu!

“Oh, baik kak. Err.. bilik saya yang mana satu ya?” soalku pula. Lenggok tubuhku jadi janggal.

“Kat tingkat atas. Pilih je mana-mana bilik. Kalau ada apa-apa, mesej je kat aku.” seraya itu kak Siti pun berlalu masuk ke dalam bilik.

Aku kehilangan kata. Orang macam ni pun ada ya? Tapi tak kisahlah. Yang penting aku ada tempat untuk berteduh. Sewa pun murah. Hanya RM100 sebulan.

Sejak dari hari itu, hanya beberapa kali sahaja aku terserempak dengan kak Siti. Itupun hanya sekilas. Dia akan cepat-cepat menghindari aku kalau aku turun ke tingkat bawah.

Tapi yang bagusnya kak Siti ni, hari-hari dia akan masak. Macam tahu-tahu je kalau aku tak kerja. Mesti akan ada hidangan yang tersedia di atas meja.

Yang tak seronoknya pula, setiap subuh dalam jam 3 pagi, kak Siti akan membasuh baju menggunakan mesin basuh. Bingit. Memang hampir setiap hari aku akan terjaga dari tidur. Tapi nak marah, tak boleh. Aku hanya penyewa.

Maka, begitulah rutin harianku. Terpaksalah aku bersabar sehinggalah pekerjaan baruku ini sudah cukup stabil untuk aku menyewa di tempat yang lebih selesa.

DUM!!!

Lamunanku terhenti. “Period ke apa? Tutup pintu macam nak gaduh je.” marahku spontan.

“Agaknya dah habis cuci kot. Dah tak dengar bunyi mesin basuh.”

Setelah sudah pasti tiada lagi ‘gangguan’, aku pun baring semula untuk menyambung lena yang terganggu.

****
***
**
*

TAP! TAP! TAP!

Bunyi tapak kaki orang berlari kedengaran dari luar bilik. Jelas sangat. Aku kembali segar. Tubuhku ku angkat sedikit dan mataku melirik ke celah bawah pintu.

Ada bayangan seseorang sedang mundar mandir di situ. Perlahan aku duduk. Kak Siti ke tu? Tapi dia buat apa depan bilik aku?

“Kak siti? Akak ke tu?” tanyaku meminta kepastian. Perasaanku sudah tak keruan.

TOK! TOK! TOK!

Seraya itu pintuku diketuk tiga kali dan orang itu mencicit lari menuruni anak tangga sambil tertawa kecil. “Hihihi..” Seakan seronok dapat mempermainkanku. Suaranya juga persis anak kecil.

“Dari mana datang budak-budak kat rumah ni? Takkan anak kak Siti?” bulu romaku serta merta naik. Merinding seluruh tubuhku.

“Hantu ke?” aku terus berselubung di bawah selimut. Selama dua bulan aku duduk di rumah ini, tidak pernah sekalipun aku mengalami apa-apa gangguan mistik. Kenapa malam ini…

“Mama!! Sakit mama…”

“Aku dah cakap jangan main kat dalam rumah! Kau degil? Berapa kali aku nak pesan hah? Kau ni memang anak tak guna!”

“Mama.. Nina janji tak buat lagi. Tolong mama sakit..”

“Kenapa kau tak m**i saja hah??? Hidup kau menyusahkan aku je!!”

Itu suara kak Siti sedang memarahi seseorang. Memang betullah tadi itu anak dia. M**i-m**i aku ingat hantu. Tanpa berlengah, aku terus mengambil jaket dan turun ke tingkat bawah.

Memang gila kak Siti ni. Entah di mana dia sorok anak dia selama ni sampai aku yang tinggal sebumbung pun tak perasan kewujudannya. Malah, berani pula mendera anak perempuannya sendiri.

“Kak Siti tolong berhent…”

Sesampainya aku di tingkat bawah, aku bungkam. Tiada sesiapapun di situ. Lampu juga tidak dipasang. Tapi aku yakin semasa aku sedang berlari ke sini, suara mereka masih kedengaran.

“Adakah aku berhalusinasi?”

DUMM!!

Aku terjerit. Cepat-cepat aku beristighfar. Itu pintu bilik kak Siti. Mungkin dia dengar aku sedang berlari tadi lalu terus masuk ke dalam bilik. Ini tak boleh jadi.

Dalam samar-samar cahaya, aku langkahkan kakiku ke arah kamar kak Siti.

TOK! TOK! TOK!

“Buka pintu ni kak Siti! Saya tahu kak Siti kat dalam. Akak tak boleh suka-suka pukul anak tau.” panas hatiku mengenang rintihan anak itu. Marah bagaimanapun seorang ibu, takkan sanggup mengasari seorang anak.

TOK! TOK! TOK! TOK! TOK!

Aku ketuk lagi beberapa kali. Langsung tiada pergerakan dari sebalik pintu. Memang gila kak Siti ni.

“Baiklah. Kalau kak Siti taknak buka, saya akan telefon polis. Biar po…”

GEDUK! GEDUK! GEDUK!

Tiba-tiba bunyi mesin basuh pula berbunyi. Siapa pula yang pasang? Aku dah rasa lain macam. Semua yang berlaku pada malam ini seakan satu mimpi ngeri. Lepas satu, satu perkara aneh yang berlaku.

Aku pandang semula ke pintu. Fikiranku pusing. Lebih baik aku matikan dulu mesin basuh tu. Baru beberapa langkah aku berjalan, pintu bilik dibelakangku terbuka dengan perlahan.

KREEKKKK….

Seram sekali bunyinya. Aku menoleh ke belakang. Pintu sudah terbuka separuh. Di dalamnya gelap gelita. Ku telan liur dikerongkong.

“Kak Siti? Akak kat dalam ke?” aku beranikan diri bertanya. Macam bodoh pula soalanku.

Akal warasku mencadangkan agar aku keluar saja dari rumah ini, tapi pada masa yang sama, aku mahu meyakinkan diriku bahawa aku tidak berimajinasi.

Macam mana kalau dalam bilik tu betul-betul ada seorang kanak-kanak yang perlukan bantuan aku? Takkan aku abaikan dia macam tu saja?

“Adik? Adik tak perlu risau ya, akak akan tolong adik. Akak takkan biarkan ibu pukul adik lagi.” pujukku.

Aku kekal diposisi itu. Menanti respon positif. Dalam masa yang sama, bunyi mesin basuh itu masih menyalak. Sesekali mataku melirik ke arah itu.

“Akak…” panggil satu suara.

Aku terpana. Memang benar sangkaanku.

“Ye dik. Akak ada ni. Mari sini kat akak. Adik selamat dengan akak.” aku cuba meyakinkannya. Walau aku tidak pasti apa bakal dilakukan oleh kak Siti, tapi aku tidak sama sekali akan tunduk pada pembuli.

Mataku menangkap satu tangan menakap pada dinding pintu bilik. Tangan itu penuh luka-luka kecil. Kesiannya.

Perlahan-lahan tubuh itu keluar dan menampakkan sosok anak kecil yang comel tapi dicemari dengan kesan-kesan lebam. Tergamak kak Siti!

Anak itu memerhatikanku dengan pandangan yang kosong. Usianya mungkin dalam lingkungan empat ke enam tahun. Dengan perlahan dia mendepakan tangannya meminta agar aku membawanya jauh dari sini.

Aku segera memeluknya. Dia juga memelukku erat. Simpatiku tumpah pada anak itu. Ku dakap kepalanya dan ku usap.

“Eh?!” Rambutnya terasa basah, seperti ada cecair yang melekit. Aku lihat tapak tanganku. D***h!

“Kepala adik.. luka..” riakku berubah risau.

Apabila anak itu mendongak melihatku, bibirnya tersenyum menyeringai hingga ke telinga. Spontan aku meleraikan pelukan. Aku benar-benar terperanjat. “Apakah???!”

Tapi apa yang membuatkanku lebih terkejut adalah, budak itu tiba-tiba hilang! Dia ghaib begitu saja. Ya Allah, adakah aku sedang di’ganggu’?

“Lantaklah pasal kak Siti.” tekadku. Baik aku keluar dari rumah ni sebelum terjadi benda yang tidak diingini. Tapi barang-barangku harus aku ambil terlebih dahulu. Kunci motor dan telefon bimbitku ada di dalam bilik.

Baru saja aku ingin naik semula ke tingkat atas, aku rasa macam ada sesuatu yang pelik pada mesin basuh yang terletak di tepi tangga itu. “Apa bendanya tu?”

“Ain, kau tahu kan sekarang ni kau kena ‘kacau’. Cepatlah keluar dari sini!” aku cuba berhujah dengan diriku.

Tapi naluri detektifku ingin mengambil alih. “Aku cuma nak tengok je apa kat dalam mesin ni. Lepas tu, aku blah lah”.

Aku pun dekati mesin basuh itu. Aku lihat ke dalam isinya yang masih ligat berputar dari balik penghadang. “Baju ke apa tu?”

Jantungku tiba-tiba berdegup kencang. Punat “off” aku tekan. Perlahan-lahan mesin itu berhenti berputar. Setelah yakin mesin itu sudah berhenti, aku buka penghadang itu. Serta merta bau yang sangat busuk menusuk ke hidung.

Aku tersedak. “Ya Allah, bau bangkai!”

Apabila aku jenguk ke dalam mesin basuh itu, mataku membulat.

“Arghhhh!!!”

Bersambung…

Jangan marah semua pembaca fiksyenshasha… Sambungan akan menyusul..

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Jenja

2 thoughts on “TUAN RUMAHKU, KAK SITI”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.