TUMPANG

Kejadian berlaku dalam dua tiga minggu yang lalu. Waktu tu, aku dapat panggilan dari kampung yang mengatakan salah seorang dari sepupu aku terlibat dengan kemalangan jalan raya. Jadinya dengan kadar segera aku bergegas pulang ke kampung selepas maghrib. Perjalanan dari daerah tempat tinggal aku dan kampung memakan masa lebih kurang satu jam. Jika tidak tersangkut dalam kesesakkan jalan raya, 50 minit pun dah boleh sampai.

Hendak dijadikan cerita, malam itu juga aku perlu mengambil adik kepada kawan aku pulang dari kerja. Bayangkan, aku bergerak dari rumah ke hospital daerah (kampung) dan kemudian berpatah balik ke Johor Bahru semula untuk menjemput adik kepada kawan aku dan kemudiannya menghantar dia ke rumah. Dan selepas itu aku memandu semula pulang ke kampung kerana ada urusan yang perlu aku lakukan dan pada malam yang sama aku perlu pulang ke rumah semula. Malam yang sangat meletihkan.

Kisah seram bermula sewaktu aku berpatah balik ke kampung selepas menjemput dan menghantar adik kepada kawan aku tu. Permulaannya bermula sewaktu aku berada di kawasan jirat cina di Ulu Choh. Sewaktu membelok, aku perasan ada kenderaan dari arah bertentangan memberi isyarat highbeam ke arah aku. Pelik juga sebab aku tak buka lampu tinggi. Tapi aku tetap bersangka baik, mungkin mereka sengaja memberi isyarat sebegitu. Waktu malam, jalan gelap.

Dan aku meneruskan pemanduan hinggalah aku menyusur masuk simpang ke jalan pintas. Sewaktu aku melalui jalan menuju ke tempat yang namanya Belokok, kawasan sekitar merupakan kawasan kebun dan ladang kelapa sawit. Gelap sudah semestinya. Aku merupakan kereta yang berada di tengah-tengah di antara tiga buah kereta. Dan tiba-tiba saja kereta di belakang memberi isyarat highbeam dan terus memotong. Secara automatik aku menjadi kenderaan yang terakhir.

Hati mula rasa tidak sedap. Volume radio aku naikkan bagi meredakan rasa takut yang mula menyelinap ke seluruh urat darah. Apabila ada kenderaan yang berselisih, ada sahaja isyarat yang mereka berikan. Hon dibunyikan, lampu dikelip-kelipkan. Sungguh, aku tak tahu kenapa. Sampailah tiba pada simpang tiga, dua kenderaan di hadapan aku membelok hanya tinggal aku yang masih memandu lurus.

Tiba-tiba, entah macam mana aku terpandang cermin pandang belakang dan waktu itulah terasa darah mengering, tangan menggeletar, badan menggigil kesejukkan dalam berpeluh. Cepat-cepat aku pandang ke depan semula.

“Fuhhh. Hns hns hns.” Bunyi dengusan berserta kekekan kecil betul-betul kedengaran di bahagian belakang tempat duduk pemandu.

Aku tak tahu nak buat apa. Berhenti di tengah-tengah kawasan kelapa sawit, reban ayam yang gelap gelita itu bukanlah pilihan yang tepat. Hendak diteruskan pemanduan, rasa terlalu jauh perjalanan. Dan aku tak ada pilihan selain dari terus memandu tanpa menjeling sedikit pun cermin pandang belakang. Aku takut!

Apabila tiba di satu lagi simpang tiga, aku melepas nafas. Sedikit lega apabila jalan tersebut terang dan terdapat gerai burger di tepi jalan. Aku berhenti seketika, mengambil nafas sebelum memandu semula. Aku masih punya belasan kilometer lagi untuk sampai ke kampung. Dengan lafaz bismillah aku memandu kembali.

Dan sekali lagi aku perlu meredah gelap malam. Jalan yang tidak berlampu lagi! Sewaktu melintasi simpang masuk ke arah Kg. Parit Jerman, aku seperti terpandang sesusuk tubuh yang sedang berdiri di bahu jalan. Hendak kata orang kampung, mustahil ada orang yang hendak berdiri di bahu jalan dalam gelap selepas pukul 10.30 malam. Aku hanya memandang sekilas, tak perasan dengan jelas rupa individu tersebut. Dan apabila kereta sudah pun melepas orang tersebut, aku cuba memberanikan diri memandang cermin pandang belakang. Kosong! Tempat orang tu berdiri kosong. Cepat-cepat aku alihkan pandangan. Fokus pada dada jalan. Mungkin pandangan mata aku je.

“Hns hns hns” sekali lagi aku terdengar suara kekekan di di dalam kereta. Spontan aku jeling cermin pandang belakang. Dan waktu tu aku nampak juntaian rambut betul-betul di belakang tempat aku duduk. Aku cuma nampak rambut, bahu ataupun wajah makhluk tersebut aku tak nampak. Macam mana aku boleh pastu tu rambut? Kebetulan, aku buka tingkap sedikit dan aku jarang memandu malam dengan memasang aircond, aku tak berapa suka. Dan rambut kalau ditiup angin ia akan berkibar sedikit kan? begitulah aku pasti itu adalah rambut.

“Ya Allah, dugaan apa ni. Janganlah ganggu aku, aku kena cepat ni. Tolong jangan ganggu aku.” Antara keluar dengan tidak suara aku. Bercakap seolah-olah ada orang lain selain aku di dalam kereta.

Dengan berbekalkan semangat yang tinggal nyawa-nyawa ikan, aku menekan pedal minyak. Berharap yang gangguan tersebut tidak akan berpanjangan.

Pemanduan aku berhenti apabila tiba di destinasi. Kereta aku berhentikan betul-betul di selekoh yang terdapat taman permainan tidak berapa jauh dari rumah tok. Aku bersandar, menarik nafas dalam, melegakan debaran di dada, menyusun semula pernafasan yang rasa tersekat.

Tok. Tok. Tok.

“Arghh!!” Spontan aku menjerit. Refleks dek terkejut dengan ketukan pada cermin tingkap.

“Kenapa ni adik? Apesal berhenti dekat sini? Kenapa tak terus ke rumah?”

“Paksu, terkejutlah orang.”

“Dah! Jom balik.”

Aku hanya menurut. Hilang rentak jantung sekali lagi rasanya. Dan malam tu juga aku cekalkan hati untuk memandu pulang ke rumah. Mujur kejadian menakutkan tu tak berulang.

-TAMAT-

MAIRA HUDA
FOLLOW FB KAMI.

13 comments

  1. Yg pelik nya adik kawan penulis ni tak reti2 ke balik umah sendiri? Dah huru hara pulak si penulis ni jadi supir utk adik kawan sendiri walhal penulis sendiri ada byk benda kena buat.. Ke adik tu bakal adik ipar penulis?

  2. Lol dah tau dalam kereta ada hantu, patutnya masa first stop tu dah buat something atau minta tolong. Ni idak, acah2 berani masuk balik dalam kereta.

  3. ahahha..aku gelak part “hnss hnss ” tu..

    kalau spe layan komik cencorot kt IG, bunyi hnss hnss ni trademark dia..

    jadah apa hantu bunyi hnss hnss

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.