Malam Terakhir Aku Terima Order
Sampai sekarang, bila aku teringat balik malam tu, tangan aku automatik menggenggam kuat stereng, walhal aku sedang duduk di rumah, di atas katil, jauh dari sebarang kereta. Begitulah kesannya. Malam yang aku fikir hanya seorang penumpang biasa, tambang lumayan, boleh tampung minyak dan sedikit lebihan untuk seminggu, tapi rupanya jadi malam yang paling aku tak akan lupa sepanjang aku memandu Maxim.
Aku Nazree. Bekerja sebagai pemandu Maxim, sudah lebih setahun. Kerja ni memang tak menentu waktu. Kadang siang, kadang malam, ikut mood dan ikut keperluan poket. Malam tu aku singgah di sebuah restoran mamak kecil di pinggir bandar untuk makan malam. Perut dah bersorak dari petang, lupa nak makan sebab order tak putus-putus. Selesai makan, aku keluar, sandar kat kereta, sambil menghisap rokok. Angin malam sejuk, jalan tak berapa ramai orang. Aku buka aplikasi Maxim semata-mata nak tengok-tengok je, mana tau ada order lagi sebelum aku balik.
Tup, keluar satu notifikasi. Tambang tinggi. Punyalah tinggi sampai aku senyum sorang-sorang macam orang gila kat luar kedai tu. “Wah, ni rezeki lah malam-malam macam ni,” aku bermonolog dalam hati. Fikir dah nak balik, tapi sayang nak lepaskan order sebegini. Aku padamkan rokok, masuk kereta, terus terima order.
Lokasi pin agak jauh dari bandar, masuk ke kawasan yang aku sendiri tak biasa lalu. GPS pun kadang-kadang lagging, signal naik turun. Tapi aku ikutkan saja, sebab dalam hati dah terbayang duit tambang tu.
Lebih kurang separuh jalan, aku perasan sesuatu yang pelik. Jalan yang sepatutnya masih ada lampu jalan, tiba-tiba jadi gelap. Bukan gelap biasa, tapi gelap yang macam ditelan. Suasana pun jadi sunyi mendadak. Radio dalam kereta aku still on, tapi macam bunyi tu jauh, tak seperti biasa. Aku pandang kiri kanan, tak ada rumah, tak ada kedai, hanya pokok-pokok tinggi berbaris di tepi jalan.
Tiba-tiba, dari tepi jalan, ada kelibat kucing melintas laju. Refleks aku terus tekan brek kuat-kuat. “Woi!!” aku terjerit sendiri dalam kereta. Jantung berdegup kuat. Aku undur sikit kereta, takut-takut termenanggal ekor kucing tu. Tapi bila aku toleh balik ke depan… tak ada apa-apa. Tiada kucing. Aku pandang kiri, kanan, cermin sisi, cermin tengah. Kosong.
“Mungkin dah lari cepat kot,” aku cakap sorang-sorang, cuba menenangkan diri. Tapi dalam hati mula rasa tak sedap. Aku sambung memandu perlahan-lahan, sebab dah tak berapa jauh je destinasi tu.
Sampai. Depan aku, sebuah rumah usang, kayunya reput, atap separuh runtuh. Nampak macam sudah lama tak berpenghuni. Tak ada lampu, tak ada tanda kehidupan langsung. Aku pandang skrin telefon, memang betul, ini lokasi pin.
Aku call nombor penumpang tu. “Nombor yang anda dail tidak boleh dihubungi buat masa ini.” Aku cuba sekali lagi. Sama jugak. “Alahai, budak-budak ni buat kerja game orang malam-malam ke apa,” aku merungut sorang-sorang dalam kereta, cuba positif walaupun dalam hati dah rasa serba tak kena.
Baru je aku nak reverse kereta untuk balik, mata aku terpaku pada satu kelibat di tepi pokok besar sebelah rumah usang tu. Putih. Bercahaya samar-samar seperti kain nipis diselaputi cahaya bulan, walhal malam tu tak nampak pun bulan. Rambutnya panjang, terurai sampai ke bawah pinggang, bergerak perlahan walaupun tiada angin. Tubuhnya tak jelas, macam separuh nyata, separuh bayang.
Aku tak sempat fikir panjang. Tangan terus masuk gear, kaki tekan minyak habis-habis. “Ya Allah, ya Allah,” mulut aku mengulang-ulang tanpa henti sepanjang jalan keluar dari situ. Aku tak berani pandang cermin sisi, takut-takut ada apa yang mengekori. Sepanjang perjalanan balik, aku hanya baca apa yang aku ingat, ayat-ayat pendek, doa yang mak selalu ajar dulu, sambil memandu secepat yang mungkin tanpa langgar mana-mana pokok atau parit.
Sampai di rumah, aku terus kunci pintu, buka semua lampu, dan duduk kat sofa sambil termenung. Badan menggigil, walaupun bukan sejuk sangat malam tu. Lama aku duduk macam tu sampai azan subuh berkumandang.
Esoknya, baru aku sedar satu perkara pelik. Kucing yang melintas tadi tu, dari mana datangnya? Sebab sepanjang jalan tu, tiada rumah, tiada kampung, hanya hutan dan pokok. Jauh dari mana-mana penempatan. Kucing tu datang dari mana pula?
Aku diamkan sahaja soalan itu dalam hati. Sebab aku tahu, jalan-jalan di Sabah ni memang banyak simpang yang tidak terjangkau akal. Ada kawasan yang orang tua-tua kata “jangan singgah lepas maghrib.” Dan malam itu, aku rasa aku dah terlangkah masuk ke salah satu kawasan tu, tanpa aku sedar.