Sihir Bekas Isteri

Assalam kepada semua pembaca FS. Lama sudah rasanya aku memberhentikan penulisan aku tentang apa yang telah terjadi sebelum ini. Maaf kerana cerita aku berkali-kali tergantung. Kali ini aku mahu menyambung semula kisah berkenaan abang aku yang telah disihir oleh seseorang.

Ceritanya begini, setelah kami dimaklumkan oleh Wak berkenaan abang aku Atan telah disihir oleh seseorang, kami bertanya kepada Wak apa tidak adakah jalan penyelesaian untuk menyembuhkan penyakit yang dihidapi oleh Atan? Wak memberitahu kami, ada jalan penyelesaiannya tetapi semuanya bergantung kepada kuasa Allah S.W.T. Kami adik-beradik cuba untuk meminta tolong kepada Wak supaya memberitahu siapakah dalang disebalik semua ini. Siapakah yang iri hati terhadap Atan dan keluarga kami sehinggakan kami sekeluarga diperlakukan sebegini rupa.

Pada mulanya Wak tidak setuju untuk memaklumkan kepada kami siapakah dalangnya. Wak maklumkan kepada kami bahawa dia takut sekiranya apa yang dimaklumkan kepada kami menjadi fitnah. Tetapi setelah beberapa kali kami cuba memujuk Wak, akhirnya Wak menyatakan bahawa Atan telah disihir oleh bekas isterinya.

Terkedu kami sejenak setelah mendengarkan perkara tersebut. Kami berfikir, apakah dosa yang kami telah lakukan kepadanya sehinggakan dia menyihir Atan sebegitu rupa. Kami juga bertanyakan Wak apakah yang telah dihantar sehingga membuatkan Atan terlantar dan menderita seperti itu. Wak memaklumkan kepada kami bahawa Atan telah disihir dengan menggunakan minyak orang mati dibu nuh sehinggakan belakang badannya berlubang, luka, lumpuh dan juga hilang ingatan. Selain itu, ada beberapa jenis sihir yang lain juga ditujukan kepada Atan dalam masa yang sama. Allahu….

Kenapalah perempuan itu sanggup dan tegar untuk melakukan perkara yang sedemikian yang boleh menjadikan seorang insan itu syirik. Kami tidak menyangka sampai ke tahap itu sanggupnya dia dan dendamnya dia kepada Atan dan kami sekeluarga. Tiada alternatif lain melainkan meminta Wak untuk membuang segala yang telah dihantar kepada Atan dan keluarga kami. Wak bersetuju untuk membantu kami walaupun ada sedikit kos perubatan yang terpaksa kami tanggung. Tetapi kami sekeluarga tidak kisah perihal kos tersebut asalkan Atan sembuh dan keluarga kami tidak diganggu seperti dulu lagi. Disini aku akan ceritakan bagaimana proses perubatan yang dilakukan.

Wak masuk ke dalam biliknya untuk mengambil peralatan untuk berubat. Yang aku ingat peralatan yang digunakan adalah kain hitam yang bertulis tulisan Allah, Muhammad dan ada ayat-ayat Quran yang aku tidak berapa pasti. Kemudian ada beberapa biji limau nipis, seberkas jarum peniti dan juga air putih.

Kemudian Wak duduk di tengah-tengah ruang tau rumahnya dan kami semua duduk mengelilingi Wak untuk melihat proses perubatan tersebut. Wak membentangkan kain hitam tersebut ditengah rumah dan membaca beberapa potongan ayat dan kemudian secara tiba-tiba atap rumah Wak berdentum dan Wak segera menggumpalkan kain hitam tersebut. Dalam lebih kurang 2 minit kemudian Wak duduk dengan tegak dan membuka kain hitam tersebut.

Alangkah terperanjatnya kami justeru kain hitam dibuka, ada beberapa benda di atas kain hitam tersebut. Wak menerangkan satu persatu apakah benda-benda tersebut. Yang pertama adalah minyak orang mati dibu nuh, kemudian diikuti oleh limau nipis yang sudah layu dan busuk,telur ayam kampung yang sudah busuk dan kotor dan juga sesuatu yang berbentuk seperti kain yang telah diikat berupa mayat berikat lima. Wak memberitahu kami, itulah barang-barang sihir yang telah dihantar untuk menyihir Atan.

Seterusnya Wak memberitahu kami supaya kami segera pulang ke rumah kerana pihak durjana yang telah menyihir Atan akan mengetahui bahawa apa yang telah dihantar kepada Atan telah diketahui oleh kami. Wak minta supaya kami berjaga-jaga dalam waktu yang terdekat dan juga sekiranya kami pulang ke rumah pada malam itu kami harus tidur bertukar tempat. Kami pun tidak pasti kenapa. Wak juga memberitahu kami, apa pun bunyi yang kami akan dengar pada malam itu, kami harus diamkan sahaja dan kami perlu sediakan sebatang kayu di sisi untuk setiap orang dan sekiranya kami terdengar apa-apa sahaja bunyi yang mencurigakan pada malam tersebut.

Setelah itu, kami mengambil keputusan untuk pulang setelah di arahkan oleh Wak. Dalam perjalanan kami untuk pulang ke rumah kami berdoa semoga Allah permudahkan segala urusan kami sepanjang perjalanan pulang kami dan juga melindungi kami dari perkara-perkara yang tidak diingini. Alhamdulillah, Allah mendengar doa hambanya yang sedang dalam kesusahan dan kami sampai ke rumah dengan selamat.

Setelah sampai ke rumah pada mulanya kami berhajat untuk bergilir-gilir berjaga sehingga ke pagi. Pada masa itu, perasaan berdebar dan takut tidak begitu jelas kerana kami berkumpul beramai-ramai di rumah orang tua kami. Kawan-kawan abang aku juga dalam 3 orang kebetulan datang ke rumah untuk lepak-lepak dengan abang aku. Biasalah rutin malam bagi orang bujang macam kawan-kawan abang aku Ayie termasuklah abang aku sendiri yang turut bujang. Jadinya, abang aku Ayie memaklumkan bawa kami semua boleh tidur memandangkan kami semua keletihan dan Ayie berbesar hati untuk menggantikan kami untuk menjaga kawasan rumah kami bersama kawan-kawannya untuk malam itu.

Jadi, kami berasa sedikit lega kerana kami boleh berehat pada malam itu. Ahli keluarga aku yang telah mengikuti sama pergi ke rumah wak tadi mengambil kesempatan itu untuk tidur dan kami pun melabuhkan tirai malam kami. Tetapi, lebih kurang dalam pukul 2:30 pagi, Ayie telah mengejutkan kami kerana dia dan kawan-kawannya telah mendengar sesuatu. Kebetulan saat itu kami turut mendengar bunyi yang mereka semua dengar.

Bunyi tersebut seperti ada sesuatu yang besar sedang berlari mengelilingi rumah kami dan juga bunyi seperti sesuatu yang besar sedang menjerit. Allahu, kecut perutnya kami pada saat itu. Along aku mengarahkan kami semua untuk segera bangun seraya megambil wuduk dan pergi membaca Quran. Kami segera melaksanakan apa yang telah di arahkan oleh Along kepada kami. Itupun kami secara beramai-ramai bergegas ke tandas untuk mengambil wuduk. kalau berseorangan memang jangan haraplah kami mahu pergi.

Setelah itu, kami kembali semula ke ruang tamu dan berkumpul beramai-ramai. Nasib baik salah seorang dari kakak aku iaitu Ude teringat akan pesan Wak. Dia segera pergi mengambil tongkat dan menghentakkan ke lantai untuk beberapa kali. Aku bertanya kepada Ude secara Whatssapp. Sebenarnya takut untuk bersuara kerana ingatkan pesan Wak tadi supaya tidak menegur apa-apa sekiranya mendengar bunyi yang aneh-aneh. Tetapi sebenarnya Ayie telah melanggar pantang tersebut kerana dia telah mengejutkan kami tadi dan memaklumkan kepada kami perihal bunyi tersebut. Allahu….

Tetapi kami tetap berusaha untuk menguatkan semangat kami dengan membaca Al-Quran beramai-ramai. Makin lama bunyi tadi semakin perlahan-lahan dan akhirnya tiada lagi bunyi-bunyi tersebut dalam pukul 3:15 pagi. Alhamdulillah… Barulah perasaan dan semangat kami yang telah kendur untuk beberapa ketika muncul kembali. Dan aku dengan beraninya bertanyakan kepada Ude untuk apa Wak meminta kami mengetuk kayu ke lantai sekiranya terdengar bunyi yang aneh-aneh. Rupa-rupanya Ude sempat bertanya dengan Wak sebab musababnya. Ude kata supaya benda tersebut tahu yang kami tahu akan kehadirannya dan kami sedang memberi amaran kepadanya.

Barulah kami faham berkenaan perkara itu. Disebabkan kejadian itu, makanya kami sekeluarga terus berjaga sehingga pagi secara beramai-ramai. Pada pagi tersebut, aku yang kebetulan mahu ke tandas telah lalu melintasi Atan yang sedang baring di ruang tamu kami yang kedua. Tiba-tiba Atan telah menegur aku. Atan panggil nama aku dan bertanyakan dimanakah emak aku. Allahu… Terkejut rasanya kerana Atan telah mengingati nama aku. Berlari aku ke ruang tamu utama untuk memaklumkan berita gembira tersebut. Kami sekeluarga bergegas ke bilik Atan untuk memastikan perkara tersebut.

Setelah bertubi-tubi soalan ditanya kepada Atan,tiba-tiba Atan bertanya kepada kami, “Engkau orang dah kenapa? Tanya aku soalan yang pelik-pelik. Ingat aku ni hilang ingatan ke apa?” kami berpandangan sesama kami. Tiba-tiba Atan tanya kepada emak aku, “Mak, kenapa saya tak boleh gerakkan kaki saya? Kaki saya dah kenapa mak? Saya lumpuh ke mak? Apa yang dah jadi ni mak?” Lalu mak aku memeluk Atan dan meminta dia untuk bersabar. Emak memberitahu Atan supaya bersabar kerana Atan masih dalam proses berubat. Atan bertanya perihal sakitnya. Emak cuma memaklumkan kepadanya mungkin dia terkena sakit sendi.

Aku terlupa untuk memaklumkan bahawa Wak sudah berpesan kepada kami sekiranya Atan sedar dan ingat semula, sekiranya dia bertanya jangan sekali-kali kami beritahu kepadanya perihal yang sebenar dan kami juga tidak boleh membicarakan soal tersebut di dalam rumah kami buat sementara waktu. Apa-apa perbincangan harus dilakukan di luar rumah.

Baiklah pembaca-pembaca sekalian, saya hentikan penulisan saya buat sementara waktu. Sudah panjang rasanya penceritaan saya. Saya mahu refresh semula ingatan saya berkenaan penceritaan ini dan kejadian-kejadian yang telah kami lalui sepanjang proses perubatan. Dan saya mahu pembaca sekalian tahu bahawa dendam perempuan itu masih tidak habis dan tidak terhenti setakat itu. Apa-apa pun nantikan kisah yang selanjutnya.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

KYNA
FOLLOW FB KAMI.

12 comments

  1. Best cerita cuma mohon penulis letak la link cerita sebElumnya spy mudah pembaca tahu kisah awal dan sambung akan datang boleh letakkan tajuk yg sama.beserta part

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.